Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah

KUCHING: Industri pelancongan Sarawak memerlukan banyak pembaharuan daripada pelbagai aspek terutamanya produk baharu bagi menarik lebih ramai pelawat.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pembangunan produk adalah sangat penting untuk menarik pelawat baharu dan mengekalkan pelawat yang kembali ke negeri ini.

“Dengan lebih banyak produk pelancongan, ia juga akan membantu untuk memanjangkan tempoh penginapan sekali gus memperkayakan pengalaman pelawat untuk menikmati budaya, pengembaraan, alam semula jadi, makanan dan festival yang unik di Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan kementeriannya pada ada Persidangan Penggal Pertama DUN Sarawak, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Abdul Karim memberitahu kementerian telah mencadangkan banyak produk baharu termasuk penambahbaikan taman negara, kawasan dermaga awam dan ruang rekreasi di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

“Sementara itu, pelancongan warisan merupakan satu lagi penekanan dengan lebih banyak muzium dan kubu lama akan dinaik taraf dan dibuka kepada pengunjung,” jelasnya.

Menurutnya, terdapat 10 projek dan produk pelancongan sedang dilaksana serta dijangka disiapkan di seluruh Sarawak pada tahun ini, manakal sembila lagi dijangka siap menjelang 2023 hingga 2024.

Tambahnya, kementerian beliau telah diperuntukkan sebanyak RM472.33 juta oleh Kerajaan Sarawak dan menerima RM13.99 juta daripada Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) untuk melaksanakan pelbagai projek.

“Dalam tempoh ini, kementerian saya telah menyiapkan pelbagai projek yang menelan peruntukan RM379.87 juta yang menjadi produk pelancongan baharu di Sarawak,” katanya lagi.

Suara Sarawak