JUARA…Barisan pemain SBM FT bersama pengurus, Sata (berdiri kiri) dan jurulatih, Ismandy (berdiri kanan).

KOTA SAMARAHAN: SBM Futsal Team (SBM FT) akan mewakili Kota Samarahan ke peringkat negeri selepas muncul juara dalam kejohanan futsal Liga Sukan Malaysia 2022 peringkat bahagian Samarahan.

Skuad kendalian pengurus, Sata Mat menepati ramalan selaku juara apabila membenam pasukan Polycats (4-1) dalam aksi final di Stadium Tertutup Kota Samarahan, semalam.

Justeru, beliau menyifatkan kemenangan itu hasil komitmen yang telah diberikan oleh anak-anak buahnya sebelum kejohanan bermula.

“Mereka berhak menerimanya (juara). Kerjasama dan komitmen sepanjang latihan memberikan kombinasi baik di antara mereka.

“Diharap kita dapat meneruskan rentak terbaik pasukan menjelang kejohanan pada peringkat negeri kelak,” katanya kepada Arena Suara Sarawak.

Sementara itu, jurulatih SBM FT Ismandy Kria mengesahkan anak-anak buahnya akan mewakili Samarahan pada pertengahan Julai kelak.

“Kita berharap nasib akan menyebelahi kita selepas ini, namun perjuangan demi menjadi pasukan terbaik semestinya matlamat kita nanti.

“Dengan baki masa yang ada, kita akan melaksanakan beberapa latihan bagi memantapkan lagi permainan pasukan menjelang perlawanan kelak,” ujarnya.

JUARA…. Para pemain dan jurulatih menerima pingat selepas bergelar juara kejohanan

Suara Sarawak