BUKAN isu baru namun perlu kerap diutarakan.

Ini kerana masih ada yang kurang faham atau mungkin sengaja tidak mahu faham.

Lihat sahaja di layar media sosial, masih ada yang mempertikaikan tentang pelaksanaan Program Transformasi Luar Bandar (RTP), bagaimana projek dilaksanakan dan ke mana peruntukan itu disalurkan?

Umum maklum, setiap kawasan parlimen dan Dewan Undangan Negeri diwakili Gabungan Parti Sarawak (GPS) diberi peruntukan mencukupi menerusi Program Transformasi Luar Bandar (RTP) agar pembangunan di luar bandar dapat dipertingkatkan.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memaklumkan, setiap ahli parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri GPS mempunyai peruntukan RM5 juta setiap tahun.

Memberi contoh, sekiranya sesebuah kawasan parlimen mempunyai dua kawasan Dewan Undangan Negeri, kawasan tersebut memiliki dana RM15 juta untuk setiap tahun.

Bagi satu kawasan parlimen termasuk Dewan Undangan Negeri (di dalamnya) mereka mempunyai peruntukan pembangunan untuk dua tahun RM30 juta bagi melaksanakan projek berteraskan rakyat.

RTP yang diperkenalkan sejak 2016 lagi merupakan salah satu bukti keprihatinan Kerajaan Sarawak dalam ‘merakyatkan perkhidmatan’ selain menyegerakan projek yang diperlukan oleh rakyat khususnya penduduk pedalaman dan luar bandar.

Projek pembangunan yang dilaksanakan oleh Kerajaan Sarawak menerusi RTP merupakan inisiatif penting bagi melengkapkan kawasan luar bandar dengan pelbagai infrastruktur yang diperlukan oleh rakyat.

Tidak dapat dinafikan, projek RTP banyak membantu menyelesaikan isu berkaitan pembangunan infrastruktur asas meskipun ada yang dilaksanakan secara berperingkat-peringkat.

Pelaksanaan projek RTP jelas menunjukkan komitmen Kerajaan Sarawak dalam membawa pembangunan secara menyeluruh, sekali gus membolehkan masyarakat luar bandar menikmati taraf hidup yang lebih baik.

Sejak RTP diperkenalkan banyak kawasan kampung menerima kemudahan ini selain peruntukan daripada kerajaan persekutuan di bawah Program Mesra Rakyat (PMR).

Peruntukan RTP disalurkan terus kepada agensi pelaksana seperti Pejabat Residen, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan sebagainya manakala, wakil rakyat pula hanya menyenaraikan projek yang diperlukan oleh rakyat sebelum dilaksanakan oleh agensi berkenaan.

RTP yang dilaksanakan di seluruh Sarawak bagi menyediakan kemudahan infrastruktur asas dan pengagihan peruntukan disalurkan menerusi pelbagai agensi pelaksana yang melaksana, mengawasi dan memantau projek-projek berkenaan membuktikan ketelusan kerajaan.

Namun agak dikesali apabila masih ada yang melemparkan tuduhan tidak berasas terhadap peruntukan itu walaupun pelbagai penjelasan telah diberikan.

Lebih menyedihkan apabila masih ada membuat tuduhan liar mengatakan bahawa peruntukan RM5 juta untuk setiap wakil rakyat GPS disalahgunakan.

Namun tahukah anda bahawa peruntukan serta pembayaran untuk projek RTP diurus oleh agensi pelaksana seperti Jabatan Kerja Raya (JKR).

Dalam erti kata lain, wakil rakyat tidak menyimpan satu sen pun peruntukan terbabit.

Jika masih ragu, tanyalah di mana-mana agensi yang berkaitan termasuk pejabat residen.

Malah, di bawah kepimpinan Abang Johari, beliau mahu semua wakil rakyat GPS memberi tumpuan ke arah memastikan semua rancangan pembangunan sama ada di bawah RTP atau yang diumumkan oleh Premier Sarawak sendiri dilaksanakan dengan cepat dan mengikut speksifikasi.

Sehubungan itu, ketua masyarakat turut memainkan peranan penting dalam memberikan penerangan lebih jelas kepada penduduk di bawah bidang kuasa masing-masing selain kerjasama pelbagai lapisan masyarakat khususnya mereka yang benar-benar memahami pendekatan yang diperkenalkan oleh Kerajaan Sarawak ini.

Suara Sarawak