Menteri Pengangkutan Datuk Seri Lee Kim Shin (kiri) bersama-sama timbalannya, Datuk Henry Jinep (kanan) melihat dokumen ucapan penggulungan kementeriannya ketika hadir di kompleks DUN, hari ini.

KUCHING: Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) akan melaksanakan kerja-kerja penambahbaikan ‘shiplock’ dan baraj Kuching untuk memastikan integriti struktur baraj dan ‘shiplock’ dikekalkan serta fungsinya dipertingkatkan.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Lee Kim Shin berkata ia memandangkan baraj Kuching dan ‘shiplock’ adalah infrastruktur yang sangat penting untuk tebatan banjir bandar raya Kuching.

“Salah satu komponen utama baraj dan ‘shiplock’ ialah stesen telemetri hujan dan paras air.

“Stesen-stesen ini terletak di sepanjang dua anak Sungai Sarawak, yang disambungkan ke pusat kawalan di bangunan baraj bagi memantau paras air masa nyata untuk pengendalian banjir yang cekap,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya sempena persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Lee menambah tahun ini, kementeriannya melalui LSS akan menaik taraf 24 stesen telemetri sedia ada untuk meningkatkan kecekapan operasi.

Sementara, katanya pasukan penguat kuasa LSS sentiasa turun padang untuk menjalankan rondaan sungai terutamanya pada musim perayaan dan cuti sekolah bagi memastikan pematuhan peraturan oleh semua pengguna sungai.

“Bagi suku pertama tahun ini, LSS telah mengeluarkan 25 kompaun kepada pesalah semasa operasi penguatkuasaan mereka,” katanya.

Menurut Lee, pada masa ini terdapat 35 sungai yang diwartakan dengan panjang keseluruhan 5,000 kilometer, dengan 3,500 kilometer atau 70 peratus daripadanya boleh dilayari.

Pada 2021, katanya terdapat kira-kira 460,043 penumpang dan 24,101 tan kargo yang bergerak melalui terminal penumpang dan dermaga di sepanjang sungai yang diwartakan itu.

Sementara, Lee berkata LSS setakat ini juga telah memasang 312 Bantuan Navigasi (AtoNs) di sungai-sungai dan lima unit ‘Yellow Marker Buoys’ bagi tujuan menanda zon ‘larangan masuk’ di perairan yang ditetapkan.

Jelasnya AtoNs terdiri daripada pelbagai jenis navigasi pelampung, ‘Light Beacons’, transit, pencahayaan jambatan dan papan tanda untuk keselamatan kapal yang berlayar di sungai dan perairan tertentu bagi mencegah perlanggaran.

Manakala bagi meningkatkan keselamatan di sungai-sungai, beliau berkata kementeriannya telah mewartakan 20 kawasan berlabuh untuk pelbagai jenis kapal bagi tujuan berlabuh atau memuat dan memunggah kargo.

Suara Sarawak