Persatuan Penternak Sarawak pada sidang media, di sini merayu kerajaan tidak meneruskan SHMKM.

KUCHING: Penternak ayam dan telur di Sarawak berdepan dilema ekoran kerugian dialami mereka disebabkan oleh skim harga kawalan kedua-dua bekalan tersebut.

Justeru, Persatuan Penternak Sarawak memohon kerajaan agar tidak melanjutkan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) terhadap ayam dan telur selepas 6 Jun nanti.

Presidennya Tsai Kin Shin berkata, skim tersebut menyebabkan kerugian kepada penternak ayam dan menganggu operasi biasa penternakan ayam.

Katanya, sejak kerajaan mengumumkan skim kawalan harga pada Disember lepas, penternak ayam terpaksa mengurangkan pengeluaran dalam menghadapi lonjakan bahan mentah makanan yang diimport.

“Sejak Februari lalu, kerajaan mengumumkan subsisi untuk penternak dengan 5 sen bagi setiap telur dan 60 sen bagi setiap kilogram ayam daging.

“Namun, meskipun penternak mendapat subsidi hari ini, ia tidak mencukupi untuk mengimbangi kos telur dan ayam daging,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Beliau berkata, beberapa penternak juga belum menerima subsidi daripada kerajaan setakat ini.

Dalam pada itu, Persatuan Penternak Sarawak mencadangkan kerajaan untuk mengimbangi bekalan telur dan ayam.

Manakala Ketua Seksyen Pedaging Ayam, Persatuan Penternak Sarawak Sia Khiok Hui berkata, sekiranya SHMKM diteruskan, kerajaan diminta untuk meningkatkan subsidi iaitu tambahan 6 sen setiap telur dan tambahan 60 sen setiap kilogram ayam.

“Selain itu, teruskan subsidi 5 sen setiap telur dan 60 sen bagi setiap kilogram ayam dan meningkatkan harga maksimum telur dan ayam sejajar dengan kenaikan kos bahan mentah global ketika ini.

“Persatuan Penternak Sarawak juga menggesa kerajaan untuk mempercepatkan pemberian subsidi dan tidak menangguhkan lagi kerana penternak ayam mengalami kerugian,” katanya.

Selain itu, beliau berkata kerajaan boleh memberi subsidi untuk bahan mentah makanan utama seperti jagung dan tepung soya serta menyelesaikan masalah kekurangan tenaga kerja terutamanya dari Indonesia.

Suara Sarawak