KUCHING: Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) mencatat satu lagi kejayaan dengan melancarkan platform pengurusan data dalam talian iaitu STB InTel dan platform epembelajaran dengan Lotus Voyager Group (LVG), baru-baru ini.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, inisiatif itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan STB untuk mendigitalkan industri pelancongan.

“Inisiatif berasaskan data ini akan meningkatkan lagi keterlihatan destinasi Sarawak secara global melalui strategi digital dan juga meletakkan STB sebagai organisasi yang bergerak ke hadapan dalam pelancongan pintar bersama-sama pihak berkepentingan pelancongan Sarawak, sejajar dengan agenda transformasi digital Kerajaan Sarawak.

“Kewujudan STB InTel ini akan menyediakan satu lagi komponen dalam strategi pelancongan digital Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Abdul Karim, inisiatif perkongsian data kerajaan kepada perniagaan (G2B) akan membolehkan pihak berkepentingan kementerian dan industri pelancongan memanfaatkan data yang dikumpulkan dari agensi kerajaan, laman sesawang pelancongan selain Google Analitis.

Ia adalah untuk memantau keberkesanan strategi pelancongan, mengenal pasti peluang utama baharu dan mencipta inisiatif baharu serta cadangan dasar dalam masa terdekat.

“Platform perkongsian data seperti STB InTel akan membantu memastikan kesepaduan antara sektor awam dan swasta di samping bekerjasama untuk mencipta strategi yang lebih termaklum dan membangunkan produk yang disasarkan,” katanya.

Mengenai perkongsian dengan LVG, beliau menyifatkannya pada platform pembelajaran dan rangkaian untuk profesional pelancongan untuk mempelajari destinasi dan produk pelancongan.

“Sarawak adalah negeri pertama di Malaysia yang menggunakan Sistem Pengurusan Pembelajaran pertama di dunia pada peringkat B2B, untuk berhubung dan bekerjasama dengan profesional pelancongan di seluruh dunia bagi mewujudkan keterlihatan Sarawak sebagai destinasi pelancongan pilihan.

“Sejak modul ini diperkenalkan pada awal April, kini terdapat 1,346 pengendali pelancongan keluar di rantau ini yang bersedia untuk mendaftar dalam kursus tersebut,” kata Abdul Karim.

STB menjangkakan lebih 10,000 ejen pelancongan terpilih akan dilatih di bawah kursus menjelang akhir tahun iaitu pada 31 Disember ini.

“Program ini akan menetapkan 1,000 pengguna baharu untuk kursus setiap bulan dengan promosi yang disediakan di India, pasaran Nordic dan di UK pada bulan akan datang.

“Saya sangat bangga dengan kejayaan STB atas usaha ini dan mengharapkan lebih banyak inisiatif transformasi digital yang akan meningkatkan kecekapan dan produktiviti sektor pelancongan,” tambahnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif STB Sharzede Datuk Salleh Askor yakin platform e-pembelajaran itu akan menyediakan maklumat yang relevan tentang cara mempromosikan Sarawak kepada pengendali pelancongan antarabangsa, terutamanya pelanggan semasa LVG termasuk dari China, India, Indonesia, Jepun, Korea, Filipina, Thailand dan Malaysia.

“Di bawah inisiatif ini, lima modul mengenai Budaya, Pengembaraan, Alam Semula Jadi, Makanan dan Festival Sarawak (CANFF) telah diwujudkan untuk menonjolkan keajaiban Sarawak.

“Modul-modul tersebut akan membawa peserta melalui lawatan terperinci ke Sarawak dan menjadikan Sarawak sebagai keutamaan dalam mempromosikan destinasi pilihan,” kata Sharzede.

ABDUL Karim melancarkan STB InTel dan Platform E-Pembelajaran dengan Lotus Voyager Group (LVG) sambil disaksikan
Sharzede.

Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak