KUCHING: Pasangan suami isteri maut selepas kereta dinaiki dilanggar dari belakang oleh sebuah MPV yang bergerak laju dari arah dari Kuching menuju ke Matang.

MAUT…Mayat kedua-dua mangsa di lokasi kejadian

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintendan Bingkok John berkata, mangsa masing-masing dikenali Sulyani Gimo, 54, dan Abdul Wahap Yusup, 52, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian di Jalan Akses FAC kira-kira jam 6.45 pagi tadi.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kenderaan Perodua Axia dinaiki mangsa maut telah dilanggar ketika bergerak lurus di lorong kiri jalan dari arah Kuching.

“Akibat pelanggaran tersebut, kenderaan mangsa terbabas dan melanggar tiang lampu di sebelah kira jalan, manakala MPV terbabas serta melanggar tiang lampu yang berada di pembahagi jalan.

“Pemandu dan penumpang Perodua Axia disahkan maut di tempat kejadian, manakala pemandu MPV mengalami kecederaan ringan di kaki dan tangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahya, mangsa cedera telah dibawa ke HUS bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Sementara itu, katanya mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Unit Forensik HUS untuk proses bedah siasat.

Ujarnya, kes masih dalam siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1947.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak