KUCHING: Potensi sukan Jombola untuk berkembang di Sarawak amat cerah.

Mengambil kira sukan terbabit yang senang dimainkan oleh semua peringkat umur.

Demikian dinyatakan Pengerusi Persatuan Jombola Negeri Sarawak, Kennedy Chua Pai Ugon ketika ditemui pada Majlis Perlancaran Jombola Sarawak 2022 di Dewan Pelbagai Guna, Petra Jaya, hari ini.

Majlis perasmian disempurnakan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Menurut Kennedy, pihaknya turut merancang agar Sarawak menjadi medan serta mencipta jenama kepada pembuatan alatan sukan, baju dan pembuatan barang dagangan bagi sukan terbabit.

“Pihak kita sedang merancang strategi yang berkesan untuk melaksanakan latihan bagi pembinaan empayar sekali gus melahirkan jurulatih dan pegawai teknikal khusus untuk sukan Jombola,” tambah beliau.

Sambil berharap pendekatan yang akan dilakukan berupaya menjadikan Sarawak sebagai sebuah negeri kuasa sukan Jombola tersohor suatu hari kelak.

Menurut beliau, program pertama sedang diteliti untuk dijalankan di Bintulu dengan penganjuran karnival serta klinik dan disusuli ke bandar-bandar utama lainnya selepas itu.

Kerjasama jitu bakal dijalankan bersama Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS), Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dan Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) bagi mencapai golongan sasaran.

Sukan yang selamat untuk dimainkan oleh semua peringkat umur itu bakal dijalankan di bawah program anjuran Kerajaan Sarawak seperti X-Tive.

Jombola amat senang dimainkan dengan raket khas dan bola busa sama ada di gelanggang sepak takraw atau badminton serta mengambil beberapa prinsip permainan bola sepak.

RASMI…Datuk Seri Abdul Karim (kanan) melakukan pukulan sebagai simbolik perasmian sukan berkenaan. – FOTO RAMIDI SUBARI

Suara Sarawak