KUCHING: Polis berjaya menahan suspek yang terlibat dalam kejadian pertelingkahan di Jalan Tun Abang Haji Openg, hadapan Wisma Saberkas, di sini.

Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Ahsmon Bajah mengesahkan lelaki berusia 42 tahun itu ditahan semalam.

“Suspek telah ditangkap oleh Team Snap Strike dan Harassment Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching pada 2 Mei kira-kira jam 1.59 petang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, pertelingkahan antara suspek dengan seorang individu berlaku pada 28 April lalu kira-kira jam 3.42 petang.

Kejadian berkenaan turut dipaparkan di laman Facebook.

Dalam kejadian tersebut, suspek telah bertindak agresif dengan keluar dari kenderaannya dan mengetuk cermin kereta mangsa dengan kasar dan mengeluarkan kata-kata berbaur ugutan.

Dalam video yang sama juga menunjukkan suspek tersebut menghimpit dan cuba menghalang kenderaan mangsa dalam keadaan yang berbahaya.

Kes disiasat di bawah 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 279 kanun yang sama kerana memandu secara gopoh di jalan raya awam.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak