MIRI: Polis menahan seorang lelaki tempatan bagi membantu siasatan berhubung kematian seorang lelaki warga asing dalam satu kejadian di Pusat Komersial Boulevard Miri, di sini pada Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu berkata, pihaknya menerima laporan dari orang awam kira-kira jam 7.30 pagi berhubung penemuan mayat lelaki, 30, dipercayai warganegara asing di lorong kedai dengan kecederaan di kepala.

“Kes ini pada awalnya telah diklasifikasikan sebagai mati mengejut bagi mengenalpasti punca kematian.

“Berpandukan kepada hasil bedah siasat yang dijalankan oleh Hospital Miri mendapati mangsa telah meninggal dunia akibat daripada kecederaan teruk di bahagian kepala yang dipercayai dipukul dengan menggunakan objek keras,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Berikutan itu Alexson berkata, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Miri telah menemuramah saksi-saksi yang mengenali mangsa bagi mengenalpasti suspek yang terlibat dalam kes ini.

Jelasnya, hasil daripada temu ramah tersebut mendapati seorang lelaki tempatan berumur lingkungan pertengahan 30-an adalah orang yang terakhir bersama mangsa sebelum mangsa ditemui meninggal dunia.

“Susulan daripada maklumat yang disalurkan oleh orang awam, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Miri telah menggerakan usaha mengesan dan mencari suspek di seluruh bandaraya Miri sehingga berjaya menangkap suspek,” katanya.

Beliau berkata, suspek, lelaki berumur 36 tahun itu ditahan di sekitar Pujut Corner, di sini kira-kira jam 11.45 pagi semalam.

Katanya, kes sebelum ini diklasifikan sebagai mati mengejut diklasifikasikan semula dan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi berkenaan kes ini kerana ia akan mengganggu siasatan.

Ujarnya, individu yang mempunyai sebarang maklumat lanjut berkaitan insiden ini diminta untuk tampil ke Balai Polis yang berdekatan untuk membantu siasatan atau menghubungi Asisten Superintendan Dorairajah Vanaltham di talian 085-433730 untuk menyalurkan maklumat berkaitan.

Suara Sarawak