KUCHING: Sebuah syarikat pembekal mi di sini didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret kerana menjual mi kuetiau mengandungi Asid Benzoik melebihi standard pada Disember lalu.

Wakil syarikat berkenaan mengaku bersalah di hadapan Syarifah Fatimah Azura selepas pertuduhan dibacakan.

Mengikut pertuduhan, syarikat tersebut telah menjual mi kuetiau itu di sebuah pasar raya di Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce, di sini pada 8 Disember 2021, pada jam 2.40 petang.

Hasil analisis yang dijalankan pada 23 Disember 2021, mi tersebut mengandungi pengawet Asid Benzoik pada kadar 2470 miligram bagi setiap kilogram yang melebihi paras atau kadar maksima yang tidak dibenarkan.

Syarikat berkenaan melakukan kesalahan di bawah Seksyen 13B(1), Seksyen 13B(2) (e) Akta Makanan 1963 dan Seksyen 13(B)(4) akta yang sama.

Jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara maksimum lima tahun.

Suara Sarawak