KUCHING: Pembinaan fasa pertama Taman Bioindustri Sarawak (TBS) telah bermula dengan melibatkan tanah seluas 26 ekar di kawasan perindustrian Samarahan.

“Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Roland Sagah Wee Inn berkata, pelaksanaan tersebut susulan cadangan pelan induk yang mengkaji kebolehlaksanaan projek tersebut termasuk model perniagaannya.

“Kekayaan biodiversiti Sarawak memberikan kita potensi untuk pembangunan bioekonomi, daripada hutan keproduk bernilai tinggi di pasaran.

“Malah penubuhan ini dapat memanfaatkan ekonomi bioteknologi global dengan saiz pasaran dijangka melepasi sekitar USD 1,684 bilion menjelang 2030,” katanya dalam ucapan penggulunggan kementeriannya pada Persidangan Penggal Pertama DUN Sarawak, hari ini.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Roland Sagah Wee Inn

Mengulas lanjut, katanya fasa pertama berkenaan melibatkan 26 ekar daripada keseluruhan 100 ekar kawasan perindustrian yang diperuntukkan untuk pembangunan tujuan tersebut.

“Untuk proses, tinjuan topografi tapak dijangka selesai bulan ini, manakala kerja tanah serta pembersihan tapak akan bermula pada Julai depan, diikuti kerja-kerja pembinaan pada suku keempat 2022.

“Serentak dengan kerja-kerja bangunan, Pusat Biodiversiti Sarawak yang ditugaskan dalam projek ini akan berusaha untuk mendapatkan pelaburan daripada lima penyewa.

“Bagi fasa ini juga,kemudahan Hab Pusat turut akan diwujudkan untuk bekerjasama dengan rakan kongsi teknologi untuk membantu pelabur di taman itu,” jelasnya.

Katanya, TBS secara keseluruhan dijangka siap menjelang 2035 dengan faedah yang akan berkembang
dan memartabatkan ekonomi Sarawak, mewujudkan peluang pekerjaan baharu dan meningkatkan pendapatan isi rumah.

Suara Sarawak