KUCHING: Kementerian Pengangkutan Sarawak harus cepat bertindak dalam membantu syarikat berkaitan menangani kos logistik yang semakin meningkat, kata Adun Padungan Chong Chieng Jen.

Menurutnya, beliau enggan menerima alasan ‘kementerian masih mengkaji’ kerana perkara tersebut sudah berlarutan dan harus ditangani secepat mungkin.

“Semasa sesi penggulungan kementerian Datuk Seri Lee Kim Shin, saya bertanya kepadanya bagaimana Kerajaan Sarawak akan membantu kos pengangkutan yang tinggi dan meningkat, terutamanya penghantaran kontena.

“Namun jawapan beliau ialah masih ‘mengkaji’. Ini sama sekali tidak boleh diterima,”katanya dalam kenyataan selepas penggulunggan Kementerian Pengangkutan Sarawak pada Persidangan Penggal Pertama DUN Sarawak, di sini, hari ini.

Menurut Chong, kenaikan kos tersebut telah melanda industri sejak lebih setahun lalu. Ia bukan sahaja menjejaskan pemain industri tetapi secara langsung memberi kesan kepada harga barangan dan kos perniagaan di Sarawak.

“Sungguh mengecewakan sebagai Menteri Pengangkutan, beliau (Kim Shin) masih tidak tahu bagaimana membantu syarikat logistik menangani peningkatan kos tersebut.

“Peningkatan kos pengangkutan dan logistik itu juga telah menambah kepada kenaikan harga barangan dan makanan dan merugikan semua orang di Sarawak,” tegasnya.

Adun Padungan Chong Chieng Jen

Suara Sarawak