SERIAN: Tiga lelaki ditangkap kerana disyaki memukul seorang lelaki sehingga menyebabkan kematian dalam satu kejadian di Balai Ringin, pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Serian Deputi Superintendan Aswandy Anis berkata, ketiga-tiga suspek ditahan kira-kira jam 5 petang, hari ini.

Mengulas lanjut, katanya kejadian dilaporkan berlaku kira-kira 4 jam petang semalam apabila isteri mangsa terdengar suaminya menjerit ketika sedang menidurkan anak mereka.

“Dia kemudian bergegas keluar dan melihat suaminya dipukul oleh sekumpulan lelaki.

“Ketika sampai ke tempat kejadian yang terletak lebih kurang 50 meter dari rumah, dia mendapati suaminya dalam keadaan tidak sedarkan diri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, wanita terbabit kemudian membawa suaminya ke Klinik Balai Ringin bagi mendapatkan rawatan.

“Mangsa kemudiannya dipindahkan Hospital Umum Sarawak untuk rawatan lanjut,” jelasnya.

Katanya, polis mendapat makluman daripada pihak hospital bahawa mangsa telah meninggal dunia kira-kira jam 8.45 pagi, Jumaat.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan

Suara Sarawak