LUNDU: Cubaan tiga tekong tempatan membawa masuk tiga orang Pendatang Asing Tanpa Izin (Pati) berjaya dipatah oleh pasukan keselamatan.

Jurucakap Sel Perhubungan Raya Markas 1 Divisyen berkata, kumpulan individu terbabit ditangkap dalam serbuan dijalankan oleh anggota dari Briged Ketiga Infantri Malaysia kira-kira jam 6 pagi di kawasan ladang kelapa sawit, di sini hari ini.

Katanya, anggota telah telah mengesan tiga buah motosikal dinaiki lima lelaki dan seorang perempuan dalam keadaan mencurigakan dari arah Indonesia masuk ke negara.

“Hasil pemeriksaan yang dibuat mendapati tiga individu merupakan lelaki warga tempatan berusia 25 hingga 35 tahun dipercayai bertindak sebagai tekong untuk membawa masuk Pati ke negara ini menerusi laluan yang tidak sah.

“Manakala seorang wanita dan dua lelaki lagi merupakan pati warga Indonesia berusia 38 hingga 56 tahun itu gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan turut menemui satu bungkusan dipercayai dadah jenis methamphetamine seberat 10 gram selain pakaian dan barangan peribadi yang disimpan di dalam beg.

Katanya, nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM 20,248 melibatkan tiga buah motosikal, wang tunai serta enam buah telefon bimbit.

Jelasnya, kesemua individu tersebut ditahan dan diserahkan kepada pihak polis di Balai Polis Lundu untuk siasatan dan tindakan lanjut.

TAHAN… Anggota tentera menahan tiga tekong dan tiga Pati warga Indonesia cuba memasuki negara melalui jalan tikus di kawasan ladang kelapa sawit di Lundu.

Suara Sarawak