KUCHING: Sebanyak tiga projek pengindahan alam sekitar dilaksanakan di kawasan Taman Botani Sarawak (TBS) untuk kemudahan rakyat sekali gus mengindahkan kawasan bandar raya Kuching.

Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, semua projek tambahan yang dimulakan dua tahun lalu oleh pihak Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) tersebut kini hampir siap sepenuhnya.

“Projek pertama ialah menaik taraf landskap serta jalan masuk ke tempat letak kereta kawasan Kubu Margherita bernilai RM764,000 dan ia sudah siap sepenuhnya Januari tahun ini.

“Sementara projek kedua yang sedang diusahakan bernilai RM10 juta melibatkan pengindahan taman serta tebingan sungai Sarawak berhampiran Kampung Boyan sehingga ke Kubu Margherita termasuk pembinaan tangga yang hampir siap.

“Projek ketiga pula pembinaan ‘Rumah Teh English’ yang kini siap 75 peratus sejak mula dibina pada Julai 2019 yang bertujuan menjadikan tempat-tempat ini kawasan tarikan pelancong,” katanya.

Abdul Rahman yang juga Adun Pantai Damai berkata demikian pada Program Penanaman Pokok DBKU di TBS, Petra Jaya, di sini, hari ini.

Sementara mengulas mengenai program tersebut, beliau memberitahu sebanyak 50 batang pokok yang terdiri daripada empat spesis pokok tahan lama ditanam di sekitar TBS iaitu pokok belian, kapur, gaharu dan ara.

Hadir sama Datuk Bandar DBKU Datuk Junaidi Reduan.

Suara Sarawak