Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang dan Adat Bumiputera) Jefferson Jamit Unyat bercakap pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

KUCHING: Kerajaan Sarawak sedang menjalankan kajian untuk menstruktur dan menaik taraf Mahkamah Bumiputera Sarawak, kata Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang dan Adat Bumiputera) Jefferson Jamit Unyat.

Menurutnya kajian itu untuk menyediakan satu pelan induk bagi mentransformasikan Mahkamah Bumiputera Sarawak kepada satu institusi kehakiman yang bebas dan berautonomi seperti Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah.

“Pada masa ini kajian adalah pada peringkat akhir dengan pihak kerajaan Sarawak sedang dalam proses untuk meneliti dan mengkaji syor-syor yang disarankan oleh pihak konsultan,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Adun Bukit Semuja, John Ilus mengenai perancangan Kerajaan Sarawak untuk menaik taraf dan mempertingkatkan status Mahkamah Bumiputera agar setaraf dengan mahkamah lain di negeri ini pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Menjelas lanjut, Jefferson yang juga Adun Bukit Goram berkata setelah menerima laporan akhir dari konsultan dan kelulusan Jawatankuasa Teknikal dan Jawatankuasa Pemandu, kerajaan akan membentangkan cadangan kepada kabinet negeri untuk pertimbangan dan kelulusan.

Tambahnya syor-syor yang melibatkan Rang Undang-Undang berkaitan akan dibentangkan dalam Dewan Undangan Negeri.

“Pelaksanaan transformasi Mahkamah Bumiputera Sarawak dijangka akan dilakukan oleh pihak kerajaan pada tahun 2023,” katanya.

Selain itu, Jefferson berkata kerajaan turut bercadang menubuhkan Pusat Pejabat Mahkamah Sarawak dan Pusat Wilayah di Kuching (merangkumi Kuching, Samarahan dan Serian).

Suara Sarawak