KUCHING: Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 bermula hari ini dengan menyaksikan istiadat pembukaan disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, pagi tadi.

Majlis perasmian yang berlangsung di Dataran Perbarisan DUN Sarawak, di sini itu menyaksikan Tun Taib dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib tiba pada jam 10.02 pagi.

Sejurus selepas itu, mereka diiringi Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Speaker DUN Datuk Amar Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar ke pentas utama.

Majlis diteruskan dengan persembahan pancaragam oleh Polis Diraja Malaysia yang dianggotai 40 anggota memainkan lagu Sarawak ‘Ibu Pertiwiku’ diketuai oleh Inspektor Frankie Billy.

Selepas bacaan doa, Tun Taib memeriksa Perbarisan Kawalan Kehormat Utama yang terdiri daripada 105 lelaki pelbagai pangkat daripada Pasukan Gerakan Am (PGA) yang berakhir pada jam 10.20 pagi.

Pada jam 11.20 pagi, Tun Taib menyampaikan ucapan perasmian persidangan di dalam Dewan Mesyuarat Utama DUN. Ucapan diakhiri dengan penangguhan oleh Asfia.

Selesai ucapan tersebut, jamuan makan tengah hari untuk semua ADUN dan tetamu kehormat dianjurkan dan berakhir dengan sesi bergambar bagi semua wakil rakyat bertempat di Pintu Utama DUN.

Pada sebelah malam pula, akan diadakan Majlis Jamuan Negeri sempena perasmian pembukaan persidangan bertempat di DUN.

Persidangan kali ini bakal berlangung selama lapan hari sehingga 26 Mei dan akan menyaksikan pembentangan tiga Rang Undang-undang kerajaan negeri.

Rang Undang-undang yang akan dibentangkan ialah, Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2022), 2022; Rang Undang-Undang Kanun Tanah (Pindaan), 2022; dan Rang Undang-undang Hutan (Pindaan), 2022. Semua Rang Undang-undang akan dibacakan buat kali pertama pada hari Rabu (18 Mei).

Abang Johari mengiringi ketibaan Tun Taib sempena perasmian Persidangan DUN Sarawak ke-19.

Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak