KUCHING: Enam lelaki rakyat Sarawak menunggu untuk diselamatkan setelah hampir sebulan terperangkap di Kemboja akibat ditipu sindiket penipuan pekerjaan.

Kesemua mangsa berumur antara 19 hingga 36 tahun dipercayai tiba di Kemboja pada pertengahan April, setelah dijanjikan pekerjaan dengan gaji lumayan.

Bagaimanapun sebaik tiba, barulah mereka menyedari ditipu sebelum salah seorang daripadanya sempat menghubungi ahli keluarga bagi meminta pertolongan.

Adun Batu Kitang Lo Khere Chiang berkata ahli keluarga mangsa tidak tahu bahawa kesemua mereka (mangsa) telah berlepas ke Kemboja untuk bekerja.

Katanya ia sehinggalah mereka dimaklumkan bahawa mangsa meminta pertolongan kerana dipaksa oleh sindiket untuk melakukan panggilan penipuan dan khuatir dizalimi dan didera sekiranya mengingkar arahan tersebut.

“Salah seorang dari mangsa menghubungi ahli keluarga mereka untuk membuat laporan polis bagi menyelamatkan mereka.

“Mereka sempat berhubung dalam masa yang singkat kerana tidak boleh kelihatan menghubungi ahli keluarga masing-masing,” katanya pada sidang media di Pusat Khidmat Dun Batu Kitang, di sini hari ini.

Beliu berkata, ahli keluarga mangsa juga tidak mengetahui keberadaan dan keadaan mangsa ketika ini, dan sangat bimbang dengan keselamatan mereka.

“Mereka juga tidak tahu sama ada mangsa sakit atau tidak,” ujarnya.

Khere Chiang menambah ahli keluarga mangsa juga sudah membuat laporan polis pada 20 April dan 21 April lalu namun setakat ini, status mengenai kesemua mangsa masih belum diketahui.

Justeru, beliau meminta Kedutaan Malaysia dan Kedutaan Kemboja untuk bekerjasama menyelamatkan kesemua mangsa.

Beliau turut memohon pihak polis dari kedua-dua negara turut bersama-sama menyelamatkan mangsa.

Lo Khere Chiang bercakap pada sidang media di Pusat Khidmat Dun Batu Kitang, di sini.
Lo Khere Chiang bercakap pada ahli keluarga mangsa di Pusat Khidmat Dun Batu Kitang, di sini.

Suara Sarawak