KUCHING: Sebuah vesel nelayan asing bersama-sama tujuh kru kapal ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) kerana disyaki menceroboh dan mencuri di sebuah pelantar minyak tidak berpenghuni, Barat Laut Tanjung Kidurong, Bintulu, kelmarin.

Bot berkenaan berjaya dipintas dan ditahan sekitar jam 12.05 tengah hari oleh Maritim Malaysia selepas dikejar selama dua jam.

Pengarah Maritim Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus berkata, tangkapan dibuat menerusi Op Pelantar Merah.

“Maritim Malaysia turut menerima aduan daripada operator industri cari gali minyak dan gas berhubung aktiviti pencerobohan oleh bot-bot yang disyaki nelayan asing di pelantar-pelantar tidak berpenghuni.

“Bertindak atas aduan, aset-aset laut telah diatur gerak yang diketuai Kapal Maritim (KM) Arau dan Pesawat AW139,” katanya pada sidang media di Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin, Muara Tebas, di sini hari ini.

Tambahnya, hasil periksaan dan geledah mendapati ia dikendalikan oleh  tujuh kru termasuk tekong kesemuanya lelaki warga asing berumur dalam lingkungan 22 tahun hingga 40 tahun dan kesemuanya ggal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah ketika diperiksa.

“Pihak penguat kuasa turut menemui beberapa peralatan milik pelantar minyak yang dilaporkan hilang seperti tali kabel, pakaian, selimut, telefon satelit, radio serta jaket keselamatan disyaki dicuri oleh kru vesel terbabit dari pelantar tidak berpenghuni,” jelasnya.

Katanya, disiasat di bawah Seksyen 378 Akta Kanun Keseksaan dan Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959 (AKTA 298).

Ditanya mengenai kejadian pernah berlaku sebelum ini, Zin Azman berkata ia kejadian yang baharu berlaku di perairan Sarawak.

“Kami mengesyaki kegiatan jenayah seperti ini akan berulang dan meningkat. Justeru, agensi akan meningkatkan lagi tugas pemantauan dan rondaan bagi mengelak perkara ini berlaku,” jelasnya.

Beliau mendedahkan, aktiviti pencerobohan dan vandalism oleh suspek ke atas peralatan logistik, teknikal, mesin serta barangan lain telah menjejaskan operasi pelantar.

Tambahnya, memotong dan mencuri kabel sumber tenaga dan perhubungan telah memberikan kesan yang besar kepada operasi dan produksi rantaian pelantar.

Zin Azman bersama Penolong Pengarah Kanan Maritim Leftenan Komander Maritim Jessica Beludi (kiri) dan Pegawai Memerintah KM Sri Aman Leftenan Komander (Maritim) Md Nor Ismail (kanan) menunjukkan gambar barangan dan peralatan yang dilarikan kapal berkenaan.

Suara Sarawak