LYDIA AMAN

KUCHING: Seorang penjaga kedai dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, selepas didapati bersalah melakukan amang seksual terhadap seorang kanak-kanak perempuan.

Hakim Dayang Ellyn Narisa Abang Ahmad membuat keputusan selepas tertuduh Jaming Gaur, 65, di dapati bersalah mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Mahkamah menetapkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula hari ini.

Tertuduh dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen. (PHOTO LOGO SV)

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menyentuh kemaluan kanak-kanak perempuan berusia empat tahun dua bulan di sebuah kedai runcit di Kampung Asum, kira-kira jam 6.00 petang, 10 Ogos 2020.

Menurut fakta kes, mangsa bersama neneknya membeli barang keperluan di sebuah kedai. Semasa neneknya berada di luar, kanak-kanak terbabit masuk ke dalam kedai untuk membeli makanan ringan.

Selepas kanak-kanak itu membayar dan menerima baki bayaran, tertuduh yang merupakan penjaga kedai menjilat tangannya lalu memasukkan ke dalam seluar mangsa.

Difahamkan, kejadian terbabit terbongkar apabila mangsa menceritakan kejadian terkutuk itu kepada ibunya. Pengadu kemudian, membuat laporan polis untuk tindakan dan siasatan lanjut.

Mangsa kemudian dibawa ke hospital untuk diperiksa oleh pakar Obstretrik dan Genikologi namun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Sementara itu, permohonan pihak pembelaan untuk menangguhkan hukuman sementara menunggu rayuan ke Mahkamah Tinggi turut ditolak.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak