Cacar monyet
Gambar hiasan

BARU-BARU ini masyarakat dunia dikejutkan dengan kemunculan penyakit cacar monyet atau monkeypox.

Dunia hari ini bukan sahaja diserang virus Covid-19, malah cacar monyet yang cepat menular melalui kontak rapat.

Sebenarnya cacar monyet bukan penyakit baru, sebaliknya ia penyakit yang sangat jarang berlaku.

Anda tahu cacar monyet?

Bagi yang pertama kali mendengar nama penyakit ini, mungkin dalam minda anda ia penyakit yang berkaitan monyet.

Dakwaan anda benar kerana penyakit ini ada kaitan dengan haiwan tersebut.

Monyet dikatakan sebagai sumber penyebaran penyakit itu kerana ia pertama kali ditemukan pada monyet sekitar tahun 1958 sehingga mendapat namanya, cacar monyet.

Bagaimanapun, kini Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melihat tikus sebagai sumber utama penularan.

Seperti yang diketahui dunia, penyakit itu sebelum ini biasanya dikesan di Afrika Barat dan Tengah, namun hari ini ia telah dikesan menular ke Australia, Kanada, Amerika Syarikat, Belgium, Perancis, Jerman, Itali, Portugal, Sweden dan United Kingdom dan terbaharu di Sepanyol.

Penularan itu telah menimbulkan panik pakar kesihatan kerana penularan yang lebih luas akan berlaku jika kes tidak dilaporkan.

Dr Sri Viknarajah dari Universiti Hasanuddin, Indonesia berkata, cacar monyet adalah sejenis virus yang disebarkan oleh haiwan kepada manusia.

Beliau menjelaskan, simptomnya hampir sama dengan simptom yang dilihat dalam penyakit jenis cacar (smallpox) pada satu ketika dahulu tetapi kurang serius secara klinikal.

Kes pertama cacar monyet melibatkan seorang warganegara Kongo, Afrika Selatan pada tahun 1970.

Bagaimana penyakit yang jarang berlaku ini tiba-tiba menular semula?

Setakat ini pakar kesihatan masih menyiasat punca penularannya.

Kes pertama penyakit ini dilaporkan pada minggu lalu dengan satu pesakit dimasukkan ke sebuah hospital di Massachusetts selepas melakukan perjalanan ke Kanada.

Sejak 21 Mei, WHO memaklumkan sebanyak 92 kes positif direkodkan termasuk 28 kes suspek cacar monyet dari 12 negara anggota yang bukan wabak endemik.

Berdasarkan beberapa laporan media antarabangsa pula, kebanyakan kes dikesan dalam kalangan mereka yang menawarkan perkhidmatan seks dan lelaki mengamalkan hubungan seks sejenis.

Ini kerana dalam semua kes yang berlaku, hanya satu kes mempunyai sejarah perjalanan ke kawasan Afrika Barat atau Afrika Tengah.

Melihat senario ini, jelas penularan yang berlaku sekarang ini adalah daripada manusia kepada manusia iaitu kalangan orang yang mempunyai hubungan fizikal rapat dengan kes bergejala!

Tidak hairanlah jika Pengarah Wilayah WHO untuk Eropah, Hans Kluge menyatakan, kes baru-baru ini adalah tidak tipikal atas beberapa sebab.

Pakar Penyakit Berjangkit WHO David Heymann juga memberitahu banyak kes yang direkodkan ketika ini dikesan di klinik kesihatan seksual. Ini satu penemuan mengejutkan.

Adakah kita selamat daripada dijangkiti penyakit ini? Risiko virus cacar monyet tersebar ke Malaysia adalah rendah, jaminan daripada Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah setakat ini. Bagaimanapun beliau menegaskan, jika seseorang individu itu ada sejarah bersentuhan dengan haiwan dijangkiti atau kontak langsung dengan pesakitnya, dia boleh dijangkiti.

Ini kerana haiwan import yang dijangkiti monkeypox juga boleh menyebabkan penyakit ini menular.

Bagaimana ia berlaku?

Virus ini boleh menjangkiti seseorang melalui gigitan atau sentuhan langsung dengan darah binatang atau cecair badan dan luka haiwan yang dijangkiti.

Oleh itu, dengarlah nasihat daripada Dr Noor Hisham iaitu kekalkan kebersihan diri yang tinggi.

Hakikatnya, setiap penyakit boleh membawa maut jika tiada langkah pencegahan dan rawatan diambil.

Tahukah anda, kanak-kanak dan individu yang memiliki tahap imuniti rendah mempunyai risiko dengan gejala lebih serius dan ia boleh menyebabkan kematian.

Data bahawa kadar kematian di negara endemik cacar monyet dianggarkan sebanyak tiga hingga enam peratus, harus dipandang serius. Maka, kita harus peka dengan simptom jangkitan penyakit ini. Menurut laporan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC), satu ciri yang membezakan jangkitan ini daripada cacar biasa adalah nodus limfa yang bengkak.

Gejala jangkitan penyakit ini mirip cacar iaitu demam, keletihan, sakit kepala serta ruam makulopapular yang bermula di muka sebelum merebak ke tapak tangan dan tapak kaki, diikuti bahagian tubuh yang lain.

Pesakit juga mungkin mengalami lenguh tubuh badan, sakit bahagian belakang badan atau sendi dan kejang otot.

Setakat ini, tiada ubat khusus untuk jangkitan ini.

Meskipun demikian vaksin boleh mencegah perkembangan penyakit. Vaksin cacar air sedia ada dikatakan 85 peratus berkesan terhadap cacar monyet, dedah Pakar Perubatan Kesihatan Awam di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Malina Osman.

Tambahnya, majoriti pesakit ini pulih tanpa komplikasi dan mereka yang dijangkiti juga mengambil masa antara dua hingga empat minggu untuk pulih sepenuhnya.

Kuarantin kendiri sekurang-kurang 21 hari bagi memastikan ruam makulopapular kering sepenuhnya memain peranan penting dalam mengelak penularan virus cacar monyet.

Pendek kata, jika dijangkiti elak kontak langsung dengan individu lain sehingga anda sembuh.

Suara Sarawak