Mustapa beramah mesra dengan penduduk pada Majlis Gerak Mula Program BMTKM di Dewan Masyarakat, Pejabat Daerah Pakan, semalam. . Turut kelihatan, Larry Sng dan Tan Sri William Mawan.

PAKAN: Sebanyak 10 lokaliti di Sarawak terpilih bagi Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM) fasa satu, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Menurutnya, semua kawasan tersebut adalah dari 10 daerah berlainan merangkumi Long Kajang (Belaga), Kampung Spaoh (Betong), Kampung Bakong (Lingga), Baram/ Ulu Tinjar (Miri), Kampung Seberang Sebuyau (Sebuyau, Telang Usan, Daro, Gedong, Lawas dan Pakan.

“Sarawak merekodkan kadar kemiskinan ketiga tertinggi dalam negara pada tahun 2019 iaitu sembilan peratus berbanding 5.6 peratus kadar kemiskinan nasional.

“Insiden kemiskinan tegar yang dicatat adalah sama berbanding insiden kemiskinan tegar nasional iaitu 0.4 peratus pada tahun yang sama.

“Berdasarkan statistik Bank Data Kemiskinan Nasional (eKasih) sehingga 15 Jun lalu, terdapat seramai 44,870 Ketua Isi Rumah (KIR) miskin tegar di Sarawak, iaitu yang tertinggi berbanding negeri lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Gerak Mula Program BMTKM di Dewan Masyarakat, Pejabat Daerah Pakan, hari ini.

Mengulas lanjut, katanya matlamat program ini adalah untuk mencapai kemiskinan tegar sifar pada akhir tahun 2025, seperti yang telah ditetapkan dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12).

Tambahnya, di Sarawak, pelaksanaan dan pemantauan BMTKM melibatkan kerjasama dengan pelbagai pihak seperti Unit Perancang Ekonomi, Pejabat Pembangunan Negeri Sarawak, pejabat pentadbiran bahagian dan daerah, Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah Sarawak (RECODA) dan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas).

Hadir sama Ahli Parlimen Julau Larry Sng dan Adun Pakan Tan Sri William Mawan Ikom.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak