Gambar hiasan

BARU-BARU ini Kerajaan Malaysia bersetuju untuk memansuhkan hukuman mati mandatori di negara ini, dengan hukuman gantian adalah tertakluk kepada budi bicara mahkamah.

Langkah itu dicapai selepas pembentangan Laporan Kajian Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan UndangUndang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, pada Mesyuarat Jemaah Menteri minggu lalu.

Dalam laporan berita nasional, jawatankuasa yang dijelaskan menerusi laporan kajian berkenaan dibentuk dan diketuai oleh mantan Ketua Hakim Negara, Tun Richard Malanjum serta pakar-pakar dalam bidang perundangan.

Difahamkan kajian lanjut dan penelitian akan dilaksanakan bagi cadangan hukuman gantian terhadap 11 kesalahan yang membawa kepada hukuman mati mandatori.

Antaranya, satu kesalahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234) serta 22 kesalahan yang membawa hukuman mati tetapi dengan berdasarkan budi bicara mahkamah.

Menurut kerajaan, keputusan itu diambil bagi memastikan hak semua pihak terpelihara, sekali gus menambah baik sistem keadilan jenayah negara.

Justeru, nasib 2,000 banduan akhir yang kini sedang menunggu giliran untuk digantung sampai mati bakal diketahui, ekoran keputusan kerajaan memansuhkan hukuman mati mandatori ini.

Mandatori bermaksud suspek yang didapati bersalah oleh mahkamah tidak akan terlepas daripada tali gantung iaitu tiada hukuman alternatif jika disabit bersalah kecuali hukuman mati.

Umumnya, hukuman mati dijalankan pelbagai cara mengikut perundangan setiap negara, antaranya termasuk gantung hingga mati, renjatan elektrik, tembakan dan suntikan maut.

Sehingga kini, lebih 100 negara secara rasmi menggugurkan hukuman mati terhadap semua jenayah tersebut iaitu separuh daripada negara itu adalah melibatkan Eropah dan Asia Tengah.

Setakat 2021, kira-kira 50 negara di seluruh dunia masih melaksanakan hukuman mati terhadap pesalah yang disabit kesalahan.

Berdasarkan data Amnesty International, sekitar 483 hukuman mati telah dilaksanakan di 18 negara pada 2020.

Namun jumlah itu menunjukkan penurunan sekitar 26 peratus berbanding pada 2019 iaitu sebanyak 657 hukuman mati dilakukan.

Angka itu bagaimanapun tidak termasuk ribuan hukuman mati yang dipercayai dilaksanakan di China, Korea Utara dan juga Vietnam.

Kebanyakan 88 peratus hukuman mati yang dilaporkan itu dijalankan di empat negara iaitu Iran (246), Mesir (107), Iraq (45) dan Arab Saudi (27).

Arab Saudi dan Iraq menjadi dua negara paling banyak merekodkan penurunan dalam pelaksanaan hukuman mati dengan Riyadh mencatatkan pengurangan sebanyak 85 peratus dan Baghdad pula lebih separuh daripada kebiasaan.

Menurut laporan media antarabangsa, trend penurunan hukuman mati di Arab Saudi mungkin disebabkan oleh pemberian moratorium hukuman terhadap pesalah dadah kerana pada 2019, negara itu melaksanakan kira-kira 184 hukuman mati.

Manakala laporan Amnesty mengatakan, sekurang-kurangnya 1,477 hukuman mati dilaksanakan di 54 negara pada 2020 dan menunjukkan penurunan berbanding tahun sebelumnya.

Pada 2019, sebanyak 2,307 hukuman mati dijalankan di 56 negara dan penurunan itu dikatakan ada kaitan dengan pandemik Covid-19 yang melanda di seluruh dunia.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak