KUCHING: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sarawak mengenal pasti 103 kes (nilai kompaun berjumlah RM12,900) di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 sepanjang Penentuan Harga Maksimum Ayam dan Telur Ayam. Jumlah kes berkenaan dicatatkan berlaku pada 5 Februari hingga 10 Jun 2022 sepanjang pelaksanaan Penentuan Harga Maksimum Ayam dan Telur Ayam dan kini ia diteruskan sehingga 30 Jun 2022 ini.

Sehubungan itu Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri Sarawak Peter J. Berinus Agang berkata pihaknya akan terus menjalankan pemeriksaan oleh pegawai Penguat kuasa di seluruh Sarawak. “Ini bagi memastikan peniaga mematuhi harga ayam dan telur yang telah diwartakan oleh kerajaan kini dan pemeriksaan ini dijalankan setiap harian bagi memastikan peniaga meletakkan tanda harga yang ditetapkan,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak.

Beliau turut menasihati peniaga supaya sentiasa mematuhi perundangan yang berkuat kuasa serta beretika semasa menjalankan transaksi perniagaan. “Kepada pengguna dinasihatkan supaya mendapatkan maklumat harga barangan melalui applikasi Price Catcher KPDNHEP bagi mendapatkan harga terbaik di lokasi berhampiran ini selain bagi membantu bagi tujuan pembelian barangan,” ujarnya lagi.

Terdahulu  Penentuan Harga Maksimum Ayam dan Telur bagi ayam standard, ayam super dan telur ayam dilanjutkan sehingga 30 Jun ini jelas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi. Katanya Kabinet bersetuju dengan perlanjutan itu diambil bagi memastikan Keluarga Malaysia bersedia dengan perubahan harga apabila penentuan harga berkenaan berakhir kelak.

“Harga maksimum bagi runcit ayam dan telur di Semenanjung sudah ditetapkan iaitu RM8.90 bagi setiap sekilogram ayam bulat standard, ayam bulat super (RM9.90/kg), telur ayam gred A (43 sen sebiji), telur ayam gred B (41 sen sebiji) dan telur ayam gred C (39 sen sebiji). “Bagi Langkawi, Sabah, Sarawak dan Labuan, Harga Maksimum Ayam dan Telur adalah berbeza mengikut zon dan daerah,” katanya lagi.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak