BINTULU: Sejumlah 14,000 pekerja warga asing diperlukan bagi menampung jumlah tenaga pekerja sedia ada dalam sektor pembinaan negara.

Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, perkara tersebut telah pun diluluskan oleh kerajaan pusat hasil rundingan bersama dengan negara luar iaitu Bangladesh dan Indonesia.

Bagi sektor pembinaan katanya, jumlah pekerja yang sudah diluluskan setakat ini adalah 14,000 pekerja.

“Bagaimanapun, setakat ini masih belum ada kemasukan dilakukan biarpun kelulusan telah dibuat oleh kedua-dua negara.

“Kita hadapi cabaran yang mana kita tidak pasti adakah kita akan mendapat bekalan daripada sumber luar atau tidak.

“Mungkin di Indonesia sudah banyak kerja baharu atau banyak program menyebabkan tidak ramai yang masuk, itu kita tidak pasti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengulas mengenai tenaga pekerja sektor pembinaan kini masih berjumlah 70 peratus dalam sidang media di Bilik Kenamaan Lapangan Terbang Bintulu di sini, hari ini.

Beliau juga mengakui cabaran pengambilan pekerja di peringkat dalaman juga menghadapi persaingan.

“Kalau kita dengar pihak kontraktor, persaingan berlaku dalam sektor negara sendiri termasuklah sektor perladangan.

“Ini adalah disebabkan kenaikan harga kelapa sawit begitu baik, dari segi gaji pekerja perladangan juga baik,” ujarnya.

BERCAKAP…Fadillah (dua dari kiri) bercakap pada sidang media pada hari kedua FTRoadPedia di Bilik Kenamaan Lapangan Terbang Bintulu

Suara Sarawak