142 jemaah Sarawak berlepas ke Tanah Suci

KUCHING: Selepas dua tahun ibadah haji tertangguh akibat pandemik Covid-19, seramai 142 jemaah menjadi kumpulan haji pertama Sarawak bagi musim 1443H/2022 berlepas ke Tanah Suci hari ini.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta isterinya Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang dan Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak Datuk Misnu Taha antara kenamaan yang mengucapkan selamat jalan kepada jemaah haji berkenaan.

Penerbangan pertama dari Sarawak hari ini dijadual berlepas pada jam 10.55 malam dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA) menerusi penerbangan Malaysia Airlines (KT32Q).

Seterusnya ia dijangka mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan seterusnya meneruskan penerbangan ke Jeddah.

Jemaah haji ini dijangka tiba di Jeddah pada jam 6.55 pagi waktu Arab Saudi.

Bagi kumpulan kedua, seramai 142 jemaah haji dijangka berlepas ke Tanah Suci dari KIA esok hari pada jam 8.55 malam.

Pada tahun ini, sebanyak 48 penerbangan Malaysia Airlines dan Saudi Airlines yang akan membawa jemaah haji negara seramai 14,306 orang ke Tanah Suci.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak