Antara penderma darah yang meraikan Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia Peringkat HUS di sini, hari ini.

KUCHING: Trend pendermaan darah di Tabung Darah Hospital Umum Sarawak (HUS) mencatatkan peningkatan sebanyak 20 peratus selepas pandemik Covid-19.

Ketua Jabatan Perkhidmatan Transfusi dan Bank Darah Dr Mohammad Marin Md Zahrin berkata, peningkatan positif tersebut susulan pelonggaran prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 yang memudahkan orang ramai datang menderma.

“Trend peningkatan ini sekali gus menyaksikan HUS sekarang memiliki bekalan darah lebih daripada mencukupi, iaitu sebanyak 1,000 beg,” katanya ketika ditemui selepas perasmian Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia Peringkat HUS di sini, hari ini.

Beliau turut menegaskan bahawa bekas pesakit Covid-19 boleh menderma darah dan tidak perlu bimbang untuk berbuat demikian.

“Mereka yang dijangkiti bagi kategori klinikal 1 dan 2 boleh berbuat demikian selepas 10 hari sembuh sepenuhnya daripada jangkitan.

“Sementara bagi kategori 3,4 dan 5, anda boleh mula menderma selepas enam bulan,” jelasnya.

Dalam pada itu, katanya walaupun bekalan darah sedia ada lebih daripada mencukupi, darah-darah dalam simpanan tersebut mempunyai kadar jangka hayat tertentu.

Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai untuk turun menderma darah, bagi penderma berulang digalakkan melakukannya setiap tiga bulan.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak