GEMBIRA… Len Talif (tengah) bersama penerima surat hak milik tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri (KTN) merakamkan gambar kenang-kenangan dalam Majlis Penyerahan Surat Hakmilik Tanah Seksyen 18 KTN (Pertanian) serta Surat Hakmilik Tanah Seksyen 18 KTN (kediaman) Kampung Tradisi Kampung Endap di Dewan Suarah Kota Samarahan

KOTA SAMARAHAN: Seramai 353 penduduk dari Kampung Endap, Kampung Pinang dan Tanah Puteh menerima surat hak milik tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri (KTN), hari ini.

Penyerahan disempurnakan oleh Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh pada majlis Penyerahan Surat Hakmilik Tanah Seksyen 18 KTN (Pertanian) serta Surat Hakmilik Tanah Seksyen 18 KTN (kediaman) Kampung Tradisi Kampung Endap di Dewan Suarah Kota Samarahan, di sini.

Menurut Len, jumlah tersebut merangkumi sebanyak 54,551 lot individu telah diukur melibatkan kawasan seluas 67,783 hektar (167,495 ekar) dilaksanakan di seluruh Sarawak setakat 31 Mei 2022 lalu.

“Pengeluaran surat hak milik tanah Seksyen 18 KTN ini memberi banyak manfaat kepada pemilik tanah, antaranya tempoh pegangannya kekal selama-lama selagi ada bulan dan bintang.

“Ini bermakna pemilik tanah mempunyai hak milik kekal ke atas tanah tersebut, tidak dikenakan cukai tanah tahunan, kos pengukuran tanah dan penyediaan surat hak milik tanah, malah turut dikecualikan premium tanah,” katanya ketika berucap.

Jelasnya, Kerajaan Sarawak sentiasa mengiktiraf dan mempertahankan hak rakyat ke atas tanah NCR mereka sekiranya tuntutan itu adalah sahih mengikut perundangan.

Selain itu, Len berkata pelaksanaan program pengukuran kampung tradisional juga giat diteruskan untuk memastikan jaminan hak milik ke atas tanah para penduduk kampung bagi kampung-kampung lama sama ada di kawasan yang telah diwartakan sebagai Rizab Komunal Bumiputera Seksyen 6 KTN (Kampung) atau sebaliknya.

“Setakat ini, sebanyak 56,849 lot kediaman daripada 386 buah kampung di seluruh Sarawak telah pun disukat. Daripada jumlah tersebut sebanyak 53,526 lot telah pun dikeluarkan surat hakmilik,” katanya.

Suara Sarawak