MIRI: Sebanyak 4,800 karton (960,000 batang) rokok serta 137 karton (926,798.4 liter) bir pelbagai jenama yang dipercayai diseludup dirampas di sini.

Rampasan dibuat oleh Cawangan Risik Batalion 12 Pasukan Gerakam Am (PGA), Miri dalam serbuan Op Kontraban ke atas sebuah premis di Taman Bumiko di sini kira-kira jam 11.30 pagi semalam, yang dijadikan tempat penyimpanan rokok dan bir belum lulus cukai Kastam.

Komander Briged Sarawak PGA Senior Asisten Dr. Che Ghazali Che Awang berkata pasukan serbuan turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun serta merampas sebuah kenderaan.

“Anggaran nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM767,612.20 (termasuk cukai) merangkumi nilai rampasan rokok sebanyak RM720,000 dan nilai rampasan bir sebanyak RM22,612.20 serta
sebuah kenderaan bernilai RM25,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya tangkapan dan rampasan diserahkan kepada pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri untuk tindakan dan siasatan lanjut di bawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967.

Menurut Che Ghazali, secara keseluruhan sepanjang pengoperasian Op Kontraban yang dilaksanakan sejak awal
tahun hingga 15 Jun ini, Briged Sarawak PGA telah merekodkan sebanyak 45 kes tangkapan dengan nilai RM20.09 juta.

Katanya ia melibatkan tangkapan seramai 62 orang (55 lelaki, 3 wanita warga tempatan dan 4 lelaki warga asing) serta rampasan 32 buah kenderaan pelbagai jenis.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak