BERUCAP… Len Talif berucap pada majlis penyerahan Warta Rizab Komunal Bumiputera di bawah Seksyen 6 KTN bagi Kampung Bangka Semong dan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 KTN (Pertanian/Kediaman) bagi Kampung Tanjung Bundong/Muara Tuang dan Kampung Tradisi Kampung Melayu serta Lesen Pendudukan Sementara (TOL) Kediaman bagi SPK Tanjung Bundong Fasa 4 dan 5 di Dewan Suarah Kota Samarahan, hari ini.

KOTA SAMARAHAN: Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak berjaya mengukur sebanyak 54,551 lot individu melibatkan kawasan seluas 67,783 hektar untuk pengeluaran surat hak milik tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri (KTN), setakat 31 Mei tahun ini.

Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh berkata, jumlah tersebut termasuk 82 surat hak milik tanah Seksyen 18 KTN yang diserahkan kepada pemilik masing-masing dari Kampung Tanjung Budong dan Muara Tuang semalam.

Menurutnya, pengeluaran surat hak milik tanah Seksyen 18 KTN memberi banyak manfaat kepada pemilik tanah termasuk tempoh pegangannya kekal.

“Ini bermakna pemilik tanah mempunyai hak milik kekal ke atas tanah tersebut, tidak dikenakan cukai tanah tahunan, kos pengukuran tanah dan penyediaan surat hak milik tanah, malah turut dikecualikan premium tanah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan Warta Rizab Komunal Bumiputera di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri (KTN) bagi Kampung Bangka Semong dan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 KTN (Pertanian/Kediaman) bagi Kampung Tanjung Bundong/Muara Tuang dan Kampung Tradisi Kampung Melayu serta Lesen Pendudukan Sementara (TOL) Kediaman bagi SPK Tanjung Bundong Fasa 4 dan 5 di Dewan Suarah Kota Samarahan, hari ini.

Tambahnya, penyukatan lot individu dan pengeluaran surat hak milik tanah Seksyen 18 KTN sedang giat dijalankan di semua kawasan dan bahagian di seluruh Sarawak merangkumi semua kaum bumiputera yang mempunyai hak ke atas tanah hak adat bumiputera (NCR) dengan mengemukakan bukti yang kukuh.

Majlis turut menyaksikan penyerahan Warta Rizab Komunal Bumiputera Seksyen 6 KTN bagi Kampung Bangka Semong melibatkan keluasan 110.11 hektar.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak