RAKAMAN KENANGAN… berdiri di belakang dari kiri Abdul Azis, Mohd Shahrizal; Megat Zulkarnain; Mohamad Kadim dan Mohd Fadzil merakam gambar kenangan bersama-sama dengan 10 wakil pelajar Unimas pada Majlis Penyerahan BAP YBR di Dewan Zamrud, Unimas dekat sini, hari ini. FOTO: RAMIDI SUBARI

KOTA SAMARAHAN: Seramai 80 pelajar B40 yang layak memasuki Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) menerima Bantuan Awal Pengajian (BAP) daripada Yayasan Bank Rakyat (YBR).

Naib Canselor Unimas Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi berkata, bantuan kewangan RM1,000 bagi setiap pelajar itu adalah bagi meringankan beban para pelajar terbabit.

“Bantuan ini adalah bagi membantu para pelajar untuk meneruskan pengajian di Unimas termasuk menampung perbelanjaan harian mereka,” katanya pada Majlis Penyerahan BAP YBR di Dewan Zamrud, Unimas di sini, hari ini.

Sementara, Pengerusi YBR Datuk Wira Megat Zulkarnain Tan Sri Omardin berkata pihaknya akan terus komited membantu golongan yang memerlukan termasuk pelajar B40 menerusi program BAP.

Menurutnya, mereka berasa bertanggungjawab untuk membantu pelajar yang memerlukan lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi ketika ini.

“Kami memahami mungkin ada ibu bapa yang berhadapan dengan sedikit kesukaran dalam menjalani kehidupan termasuk isu ekonomi keluarga.

“Perkara ini juga memberikan tekanan dan boleh menjejaskan pengajian anak-anak.

“Kami tidak akan membenarkan perkara sedemikian berlaku, sebab itu kami melaksanakan pendekatan untuk memberikan bantuan mengikut kemampuan bagi meringankan beban pelajar,” katanya.

Simbolik penyerahan BAP itu melibatkan 10 wakil pelajar dengan menerima surat tawaran BAP daripada YBR.

Majlis turut menyaksikan penyerahan replika cek berjumlah RM80,000 daripada Megat Zulkarnain kepada Mohamad Kadim.

Hadir sama, Ahli Lembaga Pemegang Amanah YBR Datuk Mohd Shahrizal Sahri, Ketua Wilayah Bank Rakyat Sarawak Abdul Azis Rosli dan Penolong Naib Cancelor Unimas (Kepimpinan dan Pembangunan) Profesor Datuk Mohd Fadzil Abdul Rahman.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak