Uggah (tengah), Jaul (dua kiri) dan Majang (kiri) menyaksikan Safri (depan, kiri) dan Chiew (depan, kanan) bertukar dokumen tugas di Wisma Bapa Malaysia, hari ini.

KUCHING: Kementerian Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan akan mengkaji semula proses kerja Jabatan Kerja Raya (JKR) di negeri ini sebagai sebahagian daripada usaha meminimumkan masalah projek sakit.

Menterinya yang juga Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata ia kerana walaupun JKR telah mempunyai prosedur operasi standard (SOP) namun masalah projek sakit masih wujud.

“Sekarang terdapat 84 projek sakit di negeri ini, persoalannya mengapa ini masih berlaku?

“Jadi keutamaan kami adalah tampil dengan pelan tindakan bagi memastikan projek-projek ini berjaya dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas daripada Setiausaha Tetap Kementerian Datu Safri Zainudin yang bersara kepada penggantinya, Chiew Chee Yau di Wisma Bapa Malaysia, hari ini.

Turut hadir dua Timbalan Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan Datuk Majang Renggi serta Ir. Aidel Lariwo, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Jaul Samion serta dua timbalannya, Datu Sri Abu Bakar Marzuki dan Datu Ik Pahon.

Hadir sama pemangku pengarah JKR Richard Tajan dan Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Dr Richard Rapu.

Menurut Uggah merangkap Menteri Kewangan II, terdapat kira-kira 9,000 projek bernilai lebih RM48 bilion dan lima pelabuhan di bawah Kementerian Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak