GWEN bergambar bersama-sama keluarganya

MUKAH: Ditinggalkan selama-lamanya oleh orang tersayang terutama ahli keluarga terdekat pasti membawa satu kedukaan mendalam kepada semua orang.

Ditambah pula ketika menghadapi saat genting menduduki peperiksaan SPM, pasti hanya Tuhan yang tahu perasaan ketika itu.

Itulah pengalaman yang tidak dapat dilupakan oleh pelajar cemerlang SPM 2021 Gwen Kimberly James, 17, memperoleh keputusan 9A dalam SPM yang diumumkan kelmarin.

Gwen merupakan satu-satunya calon dari SMK Three Rivers Mukah mendapat keputusan berkenaan.

Rakan-rakannya turut mendapat semua gred A bagi subjek peperiksaan SPM kali ini.

Ketika ditemui Suara Sarawak, Gwen mendedikasikan keputusan cemerlangnya itu khas untuk mendiang neneknya Nip Goor yang meninggal dunia semasa dia menduduki SPM pada Mac lalu.

“Saya dedikasikan keputusan ini khas untuk mendiang nenek saya yang meninggal dunia tiga hari sebelum kertas peperiksaan terakhir saya iaitu Matematik Tambahan.

“Keputusan SPM ini sangat bermakna kepada saya dan keluarga, sebab nenek selalu memberi semangat dan nasihat untuk saya terus belajar dengan gigih dan rajin.

“Saya sedih tetapi saya tahu nenek mahu saya buat betul-betul. Pada saat itu, saya bangkit dan tahu saya mesti teruskan perjuangan habis-habisan.

“Pasti nenek gembira dan bangga dengan kejayaan saya ini,” katanya dengan nada sebak.

Bagaimanapun anak sulung daripada empat adik-beradik ini gembira dan bersyukur kerana mendapat keputusan hebat yang tidak dijangka diperolehnya.

“Antara cabaran lain saya rasa dapat kongsikan adalah sekolah ditutup dan tidak dapat belajar secara bersemuka secara fizikal.

“Kami terpaksa melalui kelas dalam talian untuk tempoh yang lama.

Masalah capaian Internet di luar bandar juga sangat mengganggu proses PdPR kami.

“Dengan sokongan semua guru, ibu dan ayah, keluarga serta rakan-rakan, saya dapat hadapi cabaran ini.

Tanpa mereka, saya mungkin tidak dapat keputusan cemerlang ini,” katanya yang merancang meneruskan pengajian di Universiti Malaya.

Malah Gwen turut berkongsi kecemerlangannya itu adalah hasil rutin harian terbaiknya iaitu mempunyai rehat dan tidur mencukupi.

Katanya, “Rehat yang cukup banyak mempengaruhi prestasi untuk kekal fokus di dalam kelas, belajar dengan tenang dan sentiasa segar untuk menerima ilmu baharu.”

Sementara itu, ayahnya James Anthony bersyukur dan berterima kasih kepada semua pihak terutama sekolah dan Kementerian Pelajaran Malaysia termasuk semua ahli keluarga.

“Apa-apa pun cabaran yang kita tempuh, dengan pelbagai kaedah pihak sekolah dan kementerian gunakan, ia amat bersesuaian untuk mereka kali ini.

“Seperti ibu bapa lain, kami juga amat risau kerana jadual peperiksaan SPM ditangguh.

Kami juga menghadapi suasana sedih kerana masa tersebut nenek Gwen, ibu isteri saya meninggal dunia dan masa itu juga Gwen masih ada beberapa hari lagi untuk menduduki SPM.

“Menerima segala cabaran yang begitu berat ini, Gwen dapat mengharunginya dengan bimbingan saya dan ibunya, rakan dan semua suadara mara,” katanya lagi.

Gwen juga merupakan penerima Anugerah Tokoh Tom Bazeley 2021 iaitu anugerah khas yang diberikan kepada pelajar cemerlang SMK Three Rivers Mukah dalam bidang akademik dan kokurikulum.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak