KUCHING: Seorang guru lelaki sekolah berasrama penuh diarah bela diri oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas enam pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap enam pelajar lelaki, empat tahun lalu.

Perintah itu dibuat oleh Hakim Afidah Abdul Rahman selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie di akhir kes perbicaraan tertuduh berusia 31 tahun.

Sekitar 18 orang saksi telah dipanggil sepanjang perbicaraan kes.

Mengikut kesemua pertuduhan, dia didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan menyentuh kemaluan, memeluk dan meraba paha enam orang mangsa berusia 14 tahun hingga 16 tahun.

Dia melakukan perbuatan terkutuk itu dalam kejadian berasingan pada bulan Mac, April dan Mei 2018 di beberapa tempat di kawasan sekolah berasrama penuh, di sini.

Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16 Akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan.

Afidah menetapkan tarikh bela diri tertuduh pada 27 Jun sehingga 1 Julai depan.

Sementara menunggu tarikh tersebut, mahkamah membenarkan ikat jamin tertuduh dilanjutkan.

Sebelum ini, tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin RM10,000 dan RM2,500 didepositkan dengan dua penjamin tempatan beralamat dan bekerja tetap.

Selain itu, pasport antarabangsa tertuduh juga perlu diserahkan kepada mahkamah.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Aiman Mutallib Mohamad Shariff manakala tertuduh diwakili Peguam Hani Iryani Bonny.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak