SEBUYAU: Pasukan Armada SV muncul juara Kejohanan Bola Sepak Veteran Piala ADUN N.27 Sebuyau, Datuk Haji Julaihi Narawi 2022 merangkap Menteri Utiliti Dan Telekomunikasi Sarawak.

Menumpaskan Tedong Melancar (3-1) pada aksi final yang berlangsung di Padang Bola Sepak Kampung Sebangan, Sebuyau semalam.

Tiga gol yang memastikan Armada SV membawa pulang hadiah wang tunai RM2,500 bersama piala dan satu set jersi dijaringkan oleh Sattar Akau minit ke-15 dan 25 selain Rosli Hakimi minit ke-47.

Gol tunggal Tedong Melancar dijaringkan Zamri Abdullah minit ke-52 sekali gus menyaksikan skuad kendalian Batika Lariwoo itu menerima wang tunai RM1,500 beserta piala dan satu set jersi.

Sementara itu, pasukan Yanzan FC muncul pemenang tempat ketiga selepas menang percuma ekoran lawan mereka iaitu pasukan KLP VET gagal menghadirkan diri pada masa perlawanan ditetapkan.

Sebagai imbuhan, pemain pasukan Yanzan FC menerima wang tunai RM1,000, piala dan satu set jersi manakala wang tunai RM500 dan piala diterima pemain pasukan KLP VET selaku pemenang tempat keempat.

Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan Pegawai Tadbir Khas kepada Datuk Haji Julaihi Narawi, Yusuf Buji.

Sebanyak 27 pasukan telah menyertai kejohanan anjuran Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan N.27 Sebuyau itu.

Suara Sarawak