SETIAP kali keputusan peperiksaan utama diumumkan, cerita-cerita kejayaan dan kegembiraan menghiasi setiap media.

Ramai yang tidak mahu ketinggalan berkongsi saat indah itu yang pastinya disusuli dengan ucapan syukur dan tahniah atas kejayaan anak masing-masing.

Dalam SPM 2021, seramai 9,696 atau 2.54 peratus daripada 407,097 calon yang menduduki peperiksaan itu memperoleh keputusan semua A.

Daripada jumlah itu, seramai 71,842 calon atau 18.80 peratus pula memperoleh keputusan sekurang-kurangnya kepujian.

Bagi calon mendapat keputusan lulus pula membabitkan seramai 129,796 atau 33.96 peratus, manakala 125,454 calon pula sekurang-kurangnya gagal satu mata pelajaran.

Daripada jumlah calon yang menduduki peperiksaan itu juga, seramai 43,703 bersamaan 11.44 peratus memperoleh keputusan kombinasi gred dan 0.43 peratus atau 1,655 calon memperoleh keputusan semua gagal.

Semua peperiksaan utama termasuk SPM dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dianggap sebagai titik perubahan yang besar dalam hidup seseorang individu.

Sebelum dimansuhkan, Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dianggap sebagai penentu sama ada pelajar itu layak masuk ke sekolah berasrama penuh, sekolah menengah sains, sekolah agama menengah, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan seumpamanya.

Begitu juga Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) sebelum dibatalkan kerana boleh menentukan sekolah menengah tinggi dan aliran yang layak untuk diambil.

Misalnya, jika mahu ke aliran sains, keputusan PT3 bagi subjek berkaitan sains dan matematik mestilah cemerlang, begitu juga sebaliknya.

Dengan SPM pula, kebanyakan jurusan profesional seperti semua cabang kejuruteraan (mekanikal, elektrik, elektronik, awam, kimia dan sebagainya), sains komputer dan lain-lain memerlukan keputusan SPM yang baik untuk memasukinya.

Begitu juga bidang-bidang lain seperti perakaunan, perniagaan, sastera, seni dan sebagainya, perlu ada keputusan SPM yang baik dalam subjek-subjek yang berkaitan dengan kursus yang ingin diceburi.

Malah dengan keputusan SPM yang cemerlang juga pelajar layak memohon biasiswa.

Pentingnya pendidikan

Tidak dinafikan, pendidikan memainkan peranan sangat penting pada alaf moden hari ini selain mampu memastikan masa depan seseorang itu lebih terjamin.

Namun, perkara itu sebenarnya bersifat subjektif lantaran ada yang menganggap keputusan cemerlang sebagai penentu masa depan dan ada juga yang sebaliknya.

Tahniah dan syabas kepada mereka yang lulus dan mendapat keputusan cemerlang.
Yang kurang cemerlang atau gagal, jangan putus asa.

Ini kerana, kegagalan bukan bermakna anda hilang segala-galanya.

Susun langkah dan strategi kerana perjalanan hidup anda sebenarnya masih jauh.

Masih banyak peluang lain terhidang di depan mata.

Yang lebih penting ialah sikap tidak putus ada dan terus berusaha mendalami pelbagai ilmu.

Jika minat menjadi usahawan misalnya, galilah ilmu sebanyak mungkin.

Ramai sudah membuktikan, mereka juga mampu berjaya walaupun ada antaranya yang tidak mendapat keputusan yang cemerlang.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak