Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali ketika berucap ketika merasmikan Wacana 45 Tahun DBP Sarawak di Balai Budaya DBP, di sini, hari ini. FOTO: Ramidi Subari

KUCHING: Penggunaan Bahasa Inggeris merupakan satu pendekatan untuk memperluaskan daya komunikasi, terutama sekali di peringkat antarabangsa, kata Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.

Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Undang-Undang, Perjanjian Malaysia 1963 dan Perhubungan Negeri-Persekutuan) itu, penggunaan bahasa Inggeris penting, namun bahasa kebangsaan perlu diutamakan.

“Menyentuh tentang bahasa, kita seharusnya berbangga dan memelihara martabat bahasa kebangsaan kerana ia selari dengan agenda Sarawak.

“Sebagai negeri yang sedang membangun, komunikasi yang efektif diperlukan untuk menghubungkan kita dengan pelbagai sektor dalam dan luar negara demi mencapai matlamat.

“Justeru, ingin ditegaskan bahawa penggunaan bahasa Inggeris tidak sama sekali bermaksud kita menidakkan kepentingan bahasa ibunda atau bahasa-bahasa etnik yang lain … tidak sama sekali,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika merasmikan Wacana 45 Tahun DBP Sarawak di Balai Budaya DBP, di sini, hari ini.

Tambah Hasidah yang juga Adun Semariang, ia juga seiring dengan pembangunan ekonomi digital yang kini memerlukan kerjasama dengan negara-negara yang lebih maju dari segi teknologi digital.

Katanya, pendekatan ini bukan untuk menidakkan penggunaan bahasa Inggeris, tetapi di situlah kepentingan untuk penggunaan bahasa tersebut kerana ia adalah hala tuju kepimpinan negeri Sarawak.

Terdahulu, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memutuskan agar penggunaan bahasa Inggeris dikekalkan dalam perkhidmatan awam.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak