RAKAMAN KENANGAN… Michael (duduk tengah) dan Hanizan (satu kiri) merakam gambar kenangan bersama-sama dengan penerima surat kelulusan yang juga pembeli perumahan projek Sri Pertiwi Samariang Avanue di BCCK, hari ini.

KUCHING: Seramai 25 pembeli rumah di bawah projek Sri Pertiwi Samariang Avanue layak menerima permohonan Skim Bantuan Deposit Perumahan (HDAS).

Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Michael Tiang Ming Tee berkata, perumahan Sri Pertiwi ini ditawarkan dengan harga maksimum RM295,000.

“Justeru, dengan bantuan deposit RM10,000  disediakan oleh Kerajaan Sarawak kepada pembeli yang layak, ia akan meringankan beban kewangan mereka untuk pembelian rumah pertama,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan penyampaian surat kelulusan kepada pembeli rumah projek Sri Pertiwi Samariang Avanue di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini.

Sehubungan itu, beliau juga berpendapat bahawa lebih ramai pemaju sektor swasta akan mendaftar dengan kementeriannya untuk menyertai HDAS.

Katanya, skim ini (HDAS) akan membantu kerajaan menyediakan lebih banyak rumah mampu milik kepada pembeli rumah pertama pertama melibatkan golongan B40 dan M40.

Sementara itu, Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Hornbill Network Consortium Hanizam Hashim pada sidang media itu juga memaklumkan skim HDAS merupakan satu cara untuk memudahkan urusan pembelian rumah pertama.

“Ini kerana kebiasaannya pembeli rumah akan diminta untuk membayar 10 peratus deposit, jika tidak layak menerima pinjaman penuh.

“Dengan inisiatif HDAS ini, ia merupakan satu usaha baik dan kita memberikan sokongan dengan menyediakan lebih banyak perumahan seperti ini,” jelasnya.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak