KUCHING: Festival Bazar Gawai memberi peluang kepada para peniaga khususnya masyarakat Dayak untuk menceburi bidang perniagaan.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, festival yang diadakan selama 10 hari itu membolehkan peniaga-peniaga mengetahui selok-belok perniagaan.

Malah katanya, ia selaras dengan matlamat jawatankuasa penganjur untuk memberi peluang kepada kaum Dayak dalam mengetengahkan produk-produk mereka.

“Ini cara kita mendedahkan mereka kepada perniagaan dan bukan sahaja semasa Hari Gawai tetapi sepanjang masa sebagai peluang untuk menjana pendapatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Festival Bazar Gawai di pekarangan Dewan Masyarakat Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), di sini, malam tadi.

Katanya, festival tersebut mendapat sambutan yang amat mengalakkan daripada orang ramai dan akan dianjurkan setiap tahun.

Sebanyak 129 gerai menjual pelbagai makanan dan minuman serta gerai seni dan kraftangan terdapat pada festival tersebut.

Selain turut diadakan persembahan daripada artis-artis Dayak popular,kumpulan kugiran, malam kesenian kaum Iban, Orang Ulu dan Bidayuh dan pertandingan karaoke.

RASMI…Uggah memalu gong sebagai simbolik perasmian Festival Bazar Gawai.

Suara Sarawak