KUCHING: Gangguan bekalan elektrik di kawasan Samariang dan Santubong hari ini adalah akibat kerosakan peralatan di pencawang 33kV Samariang dan kabel bawah tanah.

Pengurus Wilayah Sarawak Energy (Wilayah Barat) Choo Min Chong, berkata, pasukan teknikal berjaya memulihkan bekalan di kebanyakan kawasan pada jam 11 pagi, manakala selebihnya secara berperingkat- peringkat melalui genset mudah alih dan litar bekalan alternatif dari pencawang berhampiran.

Katanya, berikutan kerja-kerja pembaikan yang meluas di pencawang 33kV Samariang, bekalan ke kawasan selebihnya dijangka dipulihkan pada malam ini.

“Kami memohon maaf atas kesulitan yang berlaku dan sedang berusaha untuk memulihkan bekalan kepada seramai mungkin pelanggan yang terjejas.

“Kita juga meneruskan kerja-kerja pembaikan pencawang Samariang dan kerja lokasi kerosakan pada kabel bawah tanah,” katanya sambil menambah pihaknya juga sedang menyiasat punca kerosakan.

Pelanggan boleh mengemaskini maklumat terkini melalui aplikasi mudah alih ‘SEB cares’ ( di App Store dan Google Play) atau menghubungi 1-300-88-3111 atau di Twitter di @1SarawakEnergy atau di Facebook di Sarawak Energy Berhad.

Petugas Sarawak Energy giat melakukan kerja baik pulih

Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak