KUCHING: Lebih 40 peruncit dan pemilik perniagaan di Shell dari Kuching, Kota Samarahan dan kawasan sekitar menghadiri program ‘Bertamu@Shell’ anjuran Sarawak Shell LiveWire, yang disokong Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (Tegas).

Pengerusi Shell Malaysia, Ivan Tan berkata program itu merupakan sebahagian daripada siri penglibatan pasaran yang menghubung dan memudahkan usahawan Shell LiveWire masuk ke dalam rantaian bekalan runcit Shell.

“Melalui penglibatan ini, saya berharap dapat melihat lebih ramai usahawan LiveWire bergandingan dengan peruncit kami untuk memasuki rantaian bekalan kami.

“Saya percaya ini adalah situasi menang-menang untuk semua kerana ia bukan sahaja dapat membantu usahawan LiveWire untuk mengembangkan jangkauan perniagaan mereka tetapi turut membolehkan peruncit Shell menyediakan pelbagai jenis produk termasuk produk khas tempatan, sumber tempatan untuk manfaat pelanggan Shell,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, usahawan juga diberi peluang untuk mengutarakan perniagaan dan produk mereka serta terlibat secara langsung dengan peruncit Shell dalam sesi pasaran rangkaian, yang membolehkan ramai usahawan memeterai kontrak perniagaan dengan peruncit.

Shell LiveWire merupakan program keusahawanan yang bertujuan untuk mendedahkan maklumat kepada bakal usahawan permulaan di kawasan Sabah dan Sarawak.

Ia bertujuan untuk memberi inspirasi kepada usahawan muda untuk berinovasi dan menghasilkan penyelesaian perniagaan sebenar yang memenuhi keperluan sosioekonomi masa kini. Terdahulu, Shell LiveWire diperkenalkan di Sarawak pada 2016.

Pada 2017, Tegas menyertai Shell Malaysia sebagai rakan kongsi strategik Shell LiveWire di Sarawak untuk meningkatkan pembangunan keusahawanan dan pembinaan keupayaan usahawan dan syarikat baharu Sarawak.

Program Bertamu @Shell ini seterusnya diadakan di Miri dan Bintulu dalam beberapa bulan akan datang ini.

Untuk maklumat lanjut program LiveWire Shell, sila layari di laman sesawang livewire.shell.com.my.

Suara Sarawak