Foto Ramidi Subari

KUCHING: Kerajaan Sarawak sedang giat menaik taraf dan mengindahkan penempatan di sepanjang tebingan sungai di negeri ini sebagai pemangkin ekonomi.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, penempatan terbabit melambangkan cara hidup masyarakat tempatan yang menetap di sepanjang sungai.

“Kalau kita kaji, masyarakat Melayu banyak menetap di tebingan sungai, begitu juga dengan kaum lain. Maka sungai ini mesti dicantikkan kerana ia memberi gambaran cara hidup yang seterusnya sebagai pemangkin ekonomi

“Ketika ini kerajaan sedang giat mengindahan kawasan di tebingan sungai di Kuching antaranya dari Sungai Bedil hingga ke Kampung Tupong. Di Oya, Mukah, Tellian juga kita bina tebingan sungai termasuk di Belawai,” katanya.

Abang Johari berkata demikian pada Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri Kampung Bandarsah 2022 anjuran Pertubuhan Anak Seni Bandarsah Kuching (Pasbk) di sini, malam tadi.

Menurutnya, walaupun usaha terbabit memerlukan kos yang agak besar namun kerajaan komited melaksanakannya kerana mempunyai sumber pendapatan sendiri termasuk melengkapkan semua kemudahan asas untuk masyarakat luar bandar.

Dalam perkembangan berkaitan, Abang Johari memberitahu kawasan Satok di Kuching turut akan dicantikkan termasuk sedang membina jambatan ikonik baharu di Sungai Bintangor yang menyerupai sebuah jambatan di Rotterdam.

“Selain itu, dalam tempoh satu atau dua tahun akan datang, kerajaan akan menyambung pembinaan tebingan sungai dari Kampung Nombor 3 hingga ke Satok. Bermakan seluruh kawasan ini akan mempunyai tebingan sungai yang menelan kos RM60 juta,” ujarnya.

Abang Johari menyempurnakan Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri Kampung Bandarsah 2022 di Kuching, malam tadi Foto Ramidi Subari

Suara Sarawak