BINTULU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Bintulu menahan sebuah bot nelayan tempatan Kelas C
selepas didapati melakukan aktiviti penangkapan ikan di kawasan tidak dibenarkan.

Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kepten Maritim Mohd Khairol Anuar Saad berkata, bot terbabit ditahan sekitar jam 1.05 petang semalam kira-kira 6.5 batu nautika dari Tanjung Kidurong.

Menurutnya, tangkapan dibuat berikutan aduan komuniti nelayan mengenai aktiviti segelintir bot nelayan tempatan yang menceroboh kawasan pesisir pantai dan merosakkan peralatan menangkap ikan.

“Pemeriksaan ke atas bot yang dikendalikan oleh lima kru warga Indonesia termasuk seorang tekong tempatan berumur antara 21 hingga 47 tahun mempunyai dokumen yang sah.

“Semua anak kapal, bot, peralatan menangkap ikan dan hasil tangkapan 4,000 kilogram ikan campur dirampas dan ditahan di Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Bintulu untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen dengan melakukan aktiviti menangkap ikan kurang daripada jarak yang dibenarkan yang mana boleh dikenakan kompaun daripada
Jabatan Perikanan Malaysia.

Bot nelayan tempatan Kelas C yang ditahan ekoran melakukan aktiviti penangkapan ikan di
di zon yang tidak dibenarkan.

 


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak