KUCHING: Kerajaan Brunei meneruskan pelanjutan penangguhan sementara kebenaran aktiviti rentas sempadan selama 15 hari bermula 1 hingga 15 Jun ini.

Begitu juga aktiviti keluar dan masuk negara secara ulang-alik melalui pos-pos kawalan darat mahupun laut bagi tujuan pekerjaan.

Jabatan Perdana Menteri Brunei dalam kenyataan berkata bagi pelanjutan penangguhan sementara kebenaran aktiviti rentas sempadan sehingga 15 Jun depan, ia melibatkan kemasukan warganegara asing melalui pos-pos kawalan darat dan laut termasuk perjalanan transit melintasi Brunei, kecuali bagi kemasukan atau perjalanan transit yang telah diberikan kebenaran oleh Kerajaan Brunei.

“Selain itu, kemasukan dan perjalanan transit melalui Brunei hanya boleh dipertimbangkan bagi kenderaan yang mempunyai Permit Lintas Batas dan Penyata Kebenaran Transit yang dikeluarkan oleh Kerajaan Brunei, dengan jaminan atau sokongan daripada pihak berkuasa negara yang berkenaan, dengan dikenakan syarat dan prosedur kemasukan yang sedia bagi beberapa tujuan berikut.

“Antaranya atas urusan rasmi kerajaan, persekolahan, perkhidmatan-perkhidmatan kecemasan (seperti ambulans, polis dan tentera) dan Vaccinated Transport Operators yang berdaftar di luar negara dengan Permit Lintas Batas yang dikeluarkan oleh Kerajaan Brunei bagi penghantaran bekalan import yang penting,” katanya.

Bagaimanapun, syarat-syarat bagi pertimbangan keluar masuk yang dinyatakan adalah tertakhluk kepada penelitian Jawatankuasa Pandu Covid-19 dari semasa ke semasa.

Sebarang maklumat lanjut dan terperinci boleh melayari laman sesawang Jabatan Perdana Menteri di alamat www.pmo.gov.bn/travelportal atau menghubungi talian 120 semasa waktu bekerja atau melalui e-mel travelapplication@jpm.gov.bn.

Suara Sarawak