Nancy melawat sekitar Festival Makanan Malaysia 2022 “Nang Nyaman”, di Kuching, hari ini.

KUCHING: Sebanyak sembilan makanan warisan Sarawak diisytiharkan sebagai Makanan Warisan Kebangsaan, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Datuk Seri Nancy Shukri.

Menurutnya, ia termasuk manok pansoh, umai dan bubur pedas yang disenaraikan pada tahun 2009, sayur midin goreng (2015), Kek Lapis Sarawak (2015), kelupis (2015), tebaloi (2015), celorot (2015) dan penyaram (2018).

“Usaha ini diteruskan apabila beberapa lagi makanan warisan seperti Laksa Sarawak, mi kolok, Burasak, Borongko (Bugis) dan Nuba Laya (Kelabit) dicadang diangkat sebagai warisan Kebangsaan. Semoga semuanya berjalan seperti perancangan,” katanya.

Ahli Parlimen Batang Sadong itu berkata demikian ketika melancarkan Festival Makanan Malaysia 2022 “Nang Nyaman”, di sini, hari ini.

Tambahnya, MOTAC melalui Jabatan Warisan Negara (JWN) dalam perancangan untuk mencalonkan Sarapan Pagi Malaysia makanan sarapan seperti roti canai, nasi lemak, teh tarik dan lain-lain lagi) pada tahun 2024.

“Sementara Festival Makanan pada 2026 yang merangkumi makanan Keluarga Malaysia semasa menyambut perayaan seperti lemang, kuih bakul, Chittu Urunde dan lain-lain,” ujarnya.

Mengulas lanjut, sebanyak 213 makanan di negara ini yang telah mendapat pengisytiharan sebagai Makanan Warisan Kebangsaan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005.

“Namun tidak semua makanan yang diisytiharkan tersebut mampu terus popular merentasi masa. Malah, terdapat juga makanan warisan yang kini semakin sukar ditemui atau hampir pupus.

“Justeru, usaha ini penting kerana penegasan kepada penyelidikan, dokumentasi dan penerbitan buku berkaitan dengan makanan warisan dan makanan hampir pupus,” jelasnya.

Suara Sarawak