FATIMAH Abdullah merasmikan majlis Ngiling Bidai Gawai 2022 di Rumah Bala Umba, Nanga Baoh.

DALAT: Projek Bekalan Air Alternatif Sarawak (Sawas) di kawasan Nanga Baoh yang telah beroperasi sepenuhnya sejak siap pada 2020, akhirnya dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti merangkap Adun Dalat Datuk Seri Fatimah Abdullah kelmarin.

Projek yang dilaksanakan di bawah Kementerian Utiliti dan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) sebagai agensi pelaksana ini telah membekalkan air bersih dan selamat kepada lebih 1,500 penduduk melibatkan Kampung (Kg) Klid, Kampung Narub, Nanga Baoh di Rumah Balin, Rumah Duah, Rumah Tulu, Rumah Bala dan Rumah Changai.

Sehubungan itu, Fatimah menzahirkan penghargaan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Open atas kelulusan projek Sawas berkenaan ini dan berharap agensi perlaksana terus menyelia projek tersebut meskipun diselaraskan oleh tuai rumah di sana.

“Terima kasih kepada Premier kerana meluluskan projek ini semasa beliau datang ke Dalat dahulu. Waktu itu kita bentangkan masalah yang dihadapi oleh penduduk di sini iaitu masalah air, jadi beliau telah meluluskan peruntukan termasuk projek Sawas ini.

“Jadi Sawas ini bukan sahaja untuk Nanga Baoh tetapi untuk kawasan Narub dan juga Klid. Alhamdullilah peruntukan yang diluluskan oleh kerajaan sebanyak RM11.8 juta, siap sepenuhnya pada Disember 2020,” katanya semasa dalam majlis Ngiling Bidai Gawai 2022 di Rumah Bala Umba, Nanga Baoh Selasa.

Penyelarasan bahan kimia adalah untuk memastikan sistem rawatan air Sawas dapat terus beroperasi dengan sebaiknya, Fatimah berharap JBALB bersama-sama juruteknik dapat menguruskan perkara berkenaan.

“Kita perlu lihat bagaimana cara dari segi proses kerja nanti untuk perolehan minyak dan bahan kimia serta kemudian juruteknik yang akan menjaga dan memantau mengurus tempat rawatan air.

Insya-Allah kita akan muktamadkan perkara ini bersama pegawai daerah,” katanya.

Fatimah menegaskan, penyelenggaraan berterusan loji Sawas perlu dilakukan berterusan oleh pihak JBALB agar semua rumah panjang, sekolah dan klinik terus mendapat bekalan air terawat meskipun kontrak telah selesai.

Terdahulu, Fatimah menyampaikan cek aktiviti Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) kawasan Nanga Baoh dan Ulu Baoh kepada semua tuai rumah panjang dan seterusnya merasmikan upacara Ngiling Bidai bersama-sama penghulu dan tuai rumah panjang yang hadir. Turut hadir Pegawai Daerah Dalat Kueh Lei Poh, Penghulu Nanga Baoh Ambau Anchong, Jurutera Air Bahagian Mukah Abang Ismail, Penolong Pengarah (Komunikasi Korporat dan Khidmat Pelanggan) JBALB Sarawak Awang Fardillah Awang Hussin.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak