Gambar hiasan

KUCHING: Pemuda berusia 23 tahun dijatuhi hukuman denda RM3,500 atau tujuh bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, kerana memiliki 1.38 gram Methamphetamine.

Majistret Zaiton Anuar menjatuhkan hukuman terhadap Selhapis Conia Pori selepas satu pertuduhan dibacakan di hadapannya di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta yang sama.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memiliki bahan terlarang itu dalam sebuah rumah di Kampung Mambong di sini, kira-kira jam 4 petang, 13 Jun 2021.

Menurut fakta kes, semasa kejadian, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkolik, IPK Padawan telah menahan tertuduh yang disyaki terlibat dalam aktiviti kegiatan dadah dalam sebuah rumah.

Semasa pemeriksaan, salah seorang anggota polis melihat tertuduh membuang satu objek iaitu barang kes di tepi kerusi tempat duduknya semasa ditahan.

Barang kes kemudian dibawa ke Jabatan Kimia Malaysia dan laporan mengesahkan barang tersebut mengandungi dadah jenis Methamphetamine seberat 1.38 gram.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Merylene Lindan Andrew Mang manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Suara Sarawak