Gambar hiasan

FAKTOR kekurangan pekerja asing, pemberian subsidi yang lambat dan kenaikan mendadak harga dedak ayam di pasaran dunia diakui menyebabkan bekalan telur ayam di pasaran Malaysia dan Sarawak amnya terjejas.

Itu antara jelas jurucakap Persatuan Penternak Sarawak menerusi Bahagian Penternakan Telur Ayam ketika dihubungi wartawan Suara Sarawak.

Katanya, skim itu hampir setengah tahun dan pernah memohon agar tidak dilanjutkan kerana membawa kerugian penternak ayam dan menganggu operasi penternak ayam

“Terdahulu pada Januari dan Februari 2022 harga telur ayam masih stabil tetapi apabila skim dikenakan pada Mac, April, Mei hingga sekarang, ditambah dengan harga dedak yang turut mengalami peningkatan.

Bahan mentah untuk makanan ayam berkenaan terdiri daripada jagung dan soya katanya, meningkat dua kali ganda selepas pandemik Covid-19.

“Sebelum PKP harga satu tan jagung RM1,050 namun melambung kepada RM2,050 untuk satu tan.

Begitu juga soya untuk satu tan daripada RM1,800 kini menjadi RM3,200,” jelasnya.

Ekoran Covid-19 kongsinya, penternak mengalami kekurangan tenaga pekerja asing kerana ramai tidak dapat masuk bekerja dalam industri penternakan ayam bagi tempoh ini.

“Apabila bekerja di ladang ayam, pekerja tempatan tidak mahu bekerja di tempat yang kotor.

Jadi apabila ladang ternakan tidak cukup pekerja, penternak terpaksa mengurangkan jumlah ayam mengeluarkan jumlah telur kerana kos tinggi.

“Harga telur ayam kini naik kerana makanan ayam, tetapi sekarang kerajaan mengawal harga untuk penternak bagi meneruskan perniagaan,”katanya.

Malah katanya, hanya beberapa penternak yang tidak dapat bertahan dan terpaksa menutup operasi kerana situasi yang dialami

“Bagi penternak juga ahli persatuan yang dapat menghasilkan telur kurang 20,000 biji sehari, kebanyakan tidak dapat lagi bertahan.

“Sekarang hanya tinggal penternak yang menternak dalam skala besar dan sederhana di Sarawak mampu bertahan,”katanya.

Jelasnya, kesemua penternak di Sarawak kini cuba bertahan dan melihat kepada keputusan dilaksanakan kerajaan.

“Apabila Jun berakhir, kita melihat apakah tindakan dibuat oleh kerajaan jika skim berakhir.

Sebab kita belum tahu lagi, bukan sahaja harga pasaran telur belum dibuka tetapi subsidi sudah berhenti,” jelasnya.

Beliau mengakui beberapa Bahagian di Sarawak kini mengalami kesukaran bekalan telur ayam misalnya di Bahagian Miri, Bintulu, Sibu, dan kawasan lain.

“Faktor pengangkutan turut memerlukan kos penghantaran tambang tinggi kerana harga telur ayam di Kuching dan Miri sama.

“Maka kita hanya pasarkan di Kuching, manakala di kawasan lain seperti Bintulu,Sibu, dan lain-lain turut terkesan,” jelasnya.

 


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak