SIMBOLIK…Datuk Gerald Rantap (depan) memukul gong sebagai simbolik perasmian AMA 2022 Peringkat Negeri Sarawak. – FOTO JAPEN

KUCHING: Individu yang bergiat aktif dalam bidang sukan perlu mengutamakan disiplin pada setiap masa.

Elemen tersebut penting malah diakui menjadi penyumbang kejayaan kepada seseorang atlet.

Demikian kata Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Datuk Gerald Rentap Jabu yang mewakili Menteri Belia, Sukan Dan Pembangunan Usahawan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah pada Majlis Perasmian Active@Martial Arts (ABA) Peringkat Negeri Sarawak di Arena Boling Padang Sarawak, Petra Jaya pagi tadi.

“Disiplin amat penting bagi seseorang atlet. Mengambil kira proses ketika menjalani latihan harian sehingga berdepan dengan kejohanan sebenar.

“Aspek tersebut sering ditekankan oleh jurulatih terhadap anak didik mereka. Selain itu, minat serta semangat juga memainkan peranan untuk berjaya dalam bidang sukan yang diceburi,” tegas beliau.

Sementara mengulas mengenai penganjuran AMA 2022, beliau nyata gembira dengan pelaksanaannya.

“Penganjuran program seperti ini bukan sahaja dapat dijadikan landasan terbaik mengenal pasti bakat baharu dalam setiap acara sukan yang dipertandingkan.

“Malah berperanan merapatkan hubungan silaturahim antara semua yang terlibat,” tambah beliau.

Lima acara sukan dipertandingkan iaitu silat, wushu, teakwondo, muaythai dan silambam.

Turut hadir pada majlis terbabit Pengarah Jabatan Belia Dan Sukan (JBS) Negeri Sarawak, Lamat Nyalau dan Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah.

Suara Sarawak